Search This Blog

Thursday, November 25, 2010

Dua pasangan termasuk remaja ditangkap



GERIK 24 Nov. - Usaha Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengadakan operasi mencegah kegiatan maksiat di negeri ini berjaya menangkap dua pasangan yang disyaki berkhalwat dalam serbuan berasingan dekat sini semalam.
Penolong Penguat Kuasa Agama daerah, Zahari Wateh berkata, serbuan itu dilakukan di sebuah bilik kontena berdekatan Jeti Awam Pulau Banding dan kawasan berhampiran sebuah tokong Cina di Kampung Pahat di sini.
Dalam tangkapan pertama kira-kira pukul 3 pagi, kata beliau, seorang lelaki Melayu ditahan ketika berdua-duaan dengan isteri orang yang digantung tidak bertali.
"Serbuan itu dibuat berdasarkan maklumat orang ramai dan pemantauan serta pemerhatian berterusan oleh pegawai Penguatkuasa Agama Islam Daerah Gerik semenjak Ogos lalu," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pasangan berkenaan telah beberapa kali dilihat menginap bersama dalam bilik kontena itu oleh penduduk kampung.
"Ketika diserbu, wanita itu sedang mengurut kaki teman lelakinya yang hanya berseluar pendek tanpa baju.
"Hasil soal siasat, pesalah wanita terbabit adalah isteri kepada seorang lelaki lain dan statusnya kini digantung tidak bertali," katanya.
Menurut Zahari, pasangan berkenaan mengaku telah merancang untuk berkahwin namun terhalang berikutan status suspek wanita itu.
Katanya, tangkapan kedua pula melibatkan pasangan remaja berusia 18 dan 17 tahun.
"Mereka ditangkap pada pukul 12 tengah malam oleh penduduk kampung bersama anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di kawasan berhampiran tokong Cina di Kampung Pahat.
"Pasangan berkenaan memang telah lama diperhatikan sering berdua-duaan oleh penduduk kampung sehingga mereka ditangkap semalam," katanya.
Kedua-dua pasangan ini disiasat mengikut Seksyen 54 Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992 atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM3,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment