Search This Blog

Sunday, November 28, 2010

Dua lelaki ditahan cuba seludup daun ketum ke Thailand



Che Man Md. Dros (tengah) bersama anggotanya menunjukkan bungkusan daun ketum yang dirampas dalam sebuah pikap di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, semalam.


PADANG BESAR 26 Nov. - Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah 30 kilogram daun ketum bernilai RM1,800 ke Thailand dalam ruang kosong di pintu sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Lelaki tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai buruh dan lelaki warga Thailand dari Wilayah Patani berumur 41 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah ditahan ketika sedang menyusun 188 bungkusan daun itu di belakang sebuah rumah di Kampung Tersusun di sini pukul 5.45 petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Che Man Md. Deros berkata, tangkapan tersebut merupakan yang pertama di negeri ini melibatkan penyeludupan daun ketum ke negara jiran.
"Permintaan yang tinggi dari negara jiran serta harga yang mahal iaitu RM60 sekilogram di Thailand berbanding RM25 sekilogram di sini menjadi tarikan utama penyeludup ini walaupun negara jiran menguatkuasakan undang-undang yang ketat berhubung kemasukan daun berkenaan," katanya kepada para pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, serbuan itu diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Inspektor Moey Keong Huat setelah mendapat maklumat daripada orang ramai.
"Kita percaya daun-daun ketum ini dibawa dari Kedah sebelum dibungkus dalam plastik dan diselitkan dalam ruang kosong di kedua-dua belah pintu kenderaan pacuan empat roda itu," ujarnya.
Kata Che Man, hasil soal siasat yang dilakukan terhadap suspek mendapati kegiatan penyeludupan tersebut telah berlaku sejak tiga bulan lalu.
"Kedua-dua mereka ditahan reman sehingga 30 November ini untuk soal siasat," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek itu ditahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, polis menahan dua lelaki masing-masing dari Pulau Pinang dan Chuping, di sini kerana disyaki mencuri kenderaan jenis Perodua Kancil milik seorang lelaki dari Alor Setar, Kedah.
Che Man berkata, dalam kejadian tersebut suspek dari Pulau Pinang berusia 29 tahun dan bekerja sebagai buruh telah ditahan pada pukul 2 petang semalam dan hasil soal siasat setengah jam kemudian telah membawa kepada penangkapan rakannya yang tinggal di Kampung Bukit Keteri, Chuping.
Beliau berkata, hasil serbuan di rumah rakan suspek yang berusia 47 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori, pihak polis menemui kereta curi tersebut.
"Hasil maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, kereta berkenaan telah dicuri pada 3 November lalu di hadapan rumah pemiliknya iaitu di Taman Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati kedua-dua lelaki berkenaan dikehendaki oleh pihak polis kerana terlibat dalam beberapa kes jenayah curi dan pecah rumah.

No comments:

Post a Comment