Search This Blog

Thursday, November 25, 2010

Denggi: 4 kematian minggu lalu





2010/11/25

KUALA LUMPUR: Empat kematian akibat demam denggi membabitkan dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh 14 hingga 20 November lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican. 

Katanya, dua lelaki itu ialah seorang berusia 48 tahun dari Petaling Jaya, Selangor, manakala kes kedua membabitkan seorang operator pengeluaran berumur 41 tahun dari Masjid Tanah, Melaka.
"Dua kes kematian turut berlaku di Sabah membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang bekerja sebagai akauntan dari Tawau dan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun dari Sandakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Mohd Ismail berkata, bilangan kematian meningkat 60 peratus atau 47 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 125 kematian berbanding 78 dalam tempoh sama tahun lalu. 

Katanya, jumlah kes yang dilaporkan dari bulan Januari hingga 20 November lalu adalah 42,914 kes, peningkatan sebanyak 17 peratus atau 6,400 kes berbanding sebanyak 36,514 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

"Sejumlah 147 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 18 lokaliti panas dikenal pasti pada minggu lalu membabitkan sebanyak 261 kes demam denggi. Lokaliti panas ini juga masih melaporkan sebanyak 85 kes baru pada minggu tersebut. 

"Sepuluh atau 56 peratus daripada 18 lokaliti panas ini, masih mempunyai kadar pembiakan aedes yang tinggi. Hanya lima atau 28 peratus daripada 22 lokaliti panas menjalankan aktiviti gotong-royong," katanya. 
Bagi penyakit Chikungunya, bagi tempoh bermula 14 hingga 20 November lalu, sebanyak dua kes dilaporkan, tidak berubah berbanding dua kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama minggu sebelumnya. 

Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini jumlah terkumpul kes Chikungunya adalah sebanyak 795 kes, penurunan sebanyak 83 peratus atau 3,947 kes berbanding dengan 4,742 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment