Search This Blog

Monday, November 8, 2010

Bot tenggelam, kami terapung: pemandu





KEMAMAN – “Bot tenggelam terlalu cepat, walaupun saya dan pelancong lain cuba menimba air tetapi disebabkan air memasuki bot terlalu pantas menyebabkan saya terpaksa mengarahkan semua terjun daripada bot,” kata pemandu bot, Zulfadlil Yahya, 29, ketika menceritakan detik cemas bot yang membawa kira-kira 15 pelancong tenggelam sewaktu dalam perjalanan pulang dari Pulau Tenggol, Dungun, lewat petang kelmarin. 


Menceritakan lebih lanjut saat cemas tersebut, Zulfadlil berkata, dia menyedari bot berkenaan mengalami kebocoran setelah cuba meningkatkan kelajuan bot tetapi gagal selepas kira-kira 10 minit berlepas daripada Pulau Tenggol. 


“Ketika itu saya juga lihat salah satu enjin bot ditenggelami air sebelum pemandu berpatah balik menuju ke pulau. Tetapi air terlalu cepat masuk ke dalam bot melalui lubang yang bocor menyebabkan satu lagi enjin tenggelam dan hanya beberapa minit kemudian bot jenis D-Guardian Katamaran karam sepenuhnya. 


“Ketika itu saya turut panik, namun nasib baik sebelum bot tenggelam hampir semua pelancong memakai jaket keselamatan yang membolehkan kami semua terapung,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Jeti Markas PGM Wilayah Tiga di Bukit Kuang, di sini, semalam. 


Katanya, walaupun dia dan kebanyakan mangsa ketika itu panik tetapi mereka masih berenang dan berkumpul dalam sebuah kumpulan. 


Zulfadlil yang berpengalaman mengendalikan bot lebih 11 tahun berkata, selepas melompat ke dalam laut mereka saling berpegangan tangan dan membuat bulatan bagi memastikan semua mangsa tidak terpisah dan hanyut dibawa arus dan gelombang yang agak deras ketika itu.

No comments:

Post a Comment