Search This Blog

Tuesday, November 2, 2010

Bekas banduan kena sebat




KUANTAN - Tidak serik dengan hukuman penjara tujuh bulan kerana mencuri, seorang bekas banduan kembali menjalani hukuman itu selama 15 tahun selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan merogol kanak-kanak berusia 6 tahun 11 bulan, Februari lalu, kira-kira lima bulan selepas dia dibebaskan. 

Tertuduh, A Ravishankar, 20, dari Taman Datuk Rashid dekat sini, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan itu menukar pengakuannya di hadapan Hakim Nor Adidah Ahmad sebelum dijatuhi hukuman itu bermula dari tarikh dia tangkap serta empat sebatan. 

Dia yang diwakili peguam, Zaharman Zainal Abidin sebelum itu memberitahu mahkamah kejadian berlaku tanpa disedari kerana ketika itu dia berada dalam keadaan mabuk. 

Dia bagaimanapun menafikan kejadian itu atas sebab pengaruh filem porno kerana dia tidak pernah menontonnya sebelum ini. 

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin, bekas buruh kontrak yang dibebaskan daripada hukuman penjara Oktober 2009 didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu dalam semak belakang sebuah rumah di Jalan Mat Kilau di sini, kira-kira jam 2.20 petang 14 Februari lalu. 

Perbuatannya bagaimanapun disedari pemilik rumah (pengadu) apabila lelaki itu mendengar jeritan seorang kanak-kanak dari belakang rumahnya sebelum ternampak tertuduh dalam keadaan separuh bogel sedang merogol mangsa yang terbaring di atas rumput tanpa pakaian. 

Tertuduh yang dicekup lelaki terbabit diserahkan kepada polis manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan hari berikutnya untuk pemeriksaan sebelum kanak-kanak itu disahkan menjadi mangsa rogol. 

Dia yang sebelum ini didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan. 

Dalam rayuannya, tertuduh merayu supaya hukuman ke atasnya dikurangkan memandangkan dia terpaksa menyara keluarga selain menanggung kos rawatan bapa dan abangnya yang sakit. 

Anak bongsu daripada enam beradik itu juga mengakui sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang. 

Noor Svetlana bagaimanapun membantah rayuan tertuduh itu sebaliknya memohon satu hukuman lebih berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. 

Menurutnya, walaupun ketika kejadian tertuduh masih muda namun mangsa dalam kejadian itu jauh lebih muda. 

Mangsa yang bertubuh kecil turut dibawa ke dalam mahkamah sambil ditemani ibunya untuk meyakinkan mahkamah terhadap keseriusan kesalahan tertuduh yang sanggup merogol kanak-kanak terbabit yang masih mentah dan belum bersekolah. 

Noor Svetlana juga memberitahu, mangsa bukan sahaja di rogol dalam semak yang menyebabkan beberapa kecederaan kecil pada tubuhnya malah kanak-kanak itu juga turut ditampar.

No comments:

Post a Comment