Search This Blog

Saturday, November 6, 2010

Banjir dijangka lebih buruk


KUANTAN 5 Nov. - Pahang kini bersiap sedia menghadapi bencana banjir yang dijangka lebih buruk berbanding tahun lepas berasaskan keadaan banjir di utara Semenanjung sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti 594 pusat pemindahan yang mampu menampung kira-kira 128,528 mangsa jika berlaku banjir.
Selain itu, bekalan juga telah dihantar sejak Oktober lagi ke 92 buah pangkalan yang diwujudkan bagi menampung keperluan mangsa banjir yang terputus hubungan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Muhammad Safian menjelaskan bahawa, jumlah pusat pemindahan itu bertambah enam buah berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 588 buah.
Menurut beliau, pertambahan itu dibuat kerana pihaknya menjangka banjir kali ini lebih buruk berbanding tahun lalu meskipun tidak seterus bencana pada 2007.
''Cuti semua agensi kerajaan di negeri ini dibekukan bermula 15 November ini sehingga 15 Januari tahun depan bagi membantu melancarkan operasi nanti," katanya .
Muhammad Safian berkata, mengikut ramalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Pahang, hujan akan berlaku pada akhir bulan depan hingga awal Januari ini.
Tambahnya, daerah Lipis dan Jerantut dijangka mengalami banjir berikutan paras sungai di kawasan tersebut akan naik melebihi paras bahaya.
Bagi kawasan berhampiran pantai seperti Pekan dan Kuantan jelasnya, beberapa tempat dijangka dinaiki air kerana laut akan mengalami air pasang besar.
"Kita berharap masyarakat mengambil langkah berjaga-jaga jika berhadapan situasi itu dan sekiranya diarah berpindah ke kawasan selamat, mereka perlu bertindak lebih cepat," katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, sebanyak 30 penanda aras sungai di Pahang sedang dipantau dari semasa ke semasa bagi membolehkan segala tindakan segera dapat diambil jika paras sungai melepasi tahap bahaya.
Menurutnya, bagi Kuantan, paras air sungai akan diukur di Sungai Lembing.
Justeru, beliau meminta orang ramai di negeri ini mengambil langkah proaktif dengan membuat persediaan awal bagi menghadapi banjir.

No comments:

Post a Comment