Search This Blog

Tuesday, November 30, 2010

Aminulrasyid teringat ibu ketika dikejar polis, kata rakan





2010/11/30



SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen
hari ini bahawa Amzah, remaja lelaki yang mati ditembak pada 26 April lepas, teringatkan ibunya ketika kereta yang dipandu dikejar kereta peronda polis.
Mohd Zubir Salleh, 15, berkata perkara itu diceritakan rakannya, Muhammad 
Azamuddin Omar yang berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid, 15, ketika mereka 
berada dalam tandas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 di sini, beberapa 
jam selepas kejadian. 
"Azamuddin memberitahu dia dan Aminulrasyid telah dikejar polis, dan polis 
mula lepaskan tembakan bermula di stesen minyak. Azamuddin juga beritahu, 
Aminurasyid ketika itu nak jumpa dengan mak dia, dan Azamuddin beritahu dia larikan diri selepas disepak," katanya pada perbicaraan Koperal Jenain Subi, 48, 
yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 
di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lalu. 
Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 
maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 
Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. 
Terdahulu, Mohd Zubir berkata beliau terserempak dengan Azamuddin di luar 
pagar sekolah kira-kira 7.20 pagi dan rakannya itu kelihatan takut seperti 
bermasalah. 
Saksi ke-35 pendakwaan itu berkata, Azamuddin kemudian meminta beliau 
mengumpulkan rakan mereka di tandas sekolah sebelum memaklumkan bahawa 
Aminulrasyid telah meninggal dunia. 
"Azamuddin menceritakan mengenai kejadian itu kepada kami tidak sampai 10 
minit, dan selebihnya hanya tangisan yang lama," katanya. 
Beliau berkata Azamuddin turut meminta beliau menyimpan sebuah beg plastik 
berisi kemeja T serta seluar pendek yang dipakainya pada hari kejadian, dan 
beliau kemudian menyorokkan barang-barang itu di lorong berdekatan rumahnya. 
Katanya, beg plastik itu telah diambil oleh anggota polis forensik yang 
datang ke rumahnya pada awal pagi 27 April lalu. 

Mohd Zubir berkata beliau pernah melihat Aminulrasyid memandu kereta milik 
abangnya di kawasan perumahan tersebut. 
Ketika ditanya sama ada beliau pernah menegur mangsa kerana memandu kereta 
tanpa lesen, saksi itu menjawab: "Saya pun tidak ada lesen" menyebabkan mereka 
yang hadir ketawa. 
Hakim Latifah Mohd Tahar kemudian menasihati saksi itu supaya tidak memandu 
kereta tanpa lesen kerana ia menyalahi undang-undang. 
Seorang lagi saksi, R Lokman Hakim R Daly, 23, penunggang motosikal yang 
mengejar kereta yang dipandu Aminulrasyid pada hari kejadian berkata mangsa 
dilihat memandu kereta seperti orang yang berpengalaman. 
Ketika diminta menerangkan maksudnya, Lokman Hakim berkata: "Dia (pemandu) 
boleh pandu laju dan boleh bawa kereta secara zig-zag untuk elak kereta-kereta 
lain semasa di lampu isyarat." 
Perbicaraan disambung 6 Disember ini.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment