Search This Blog

Tuesday, November 23, 2010

6 lelaki ditahan bantu kes bunuh



Oleh Shamsul Kamal Amarudin

2010/11/22

IPOH: Enam lelaki berusia antara 21 hingga 30 tahun ditahan di Menglembu, di sini awal pagi semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam seorang peguam pada 16 November lalu. 

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata semua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di situ oleh sepasukan polis pada jam 3.45 pagi.
Semua suspek terbabit kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret menaiki sebuah van kira-kira jam 2.20 petang untuk memohon perintah tahanan reman.
Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed membenarkan permohonan polis untuk menahan reman semua suspek selama tujuh hari sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. 

Ketika dibawa keluar mahkamah, beberapa ahli keluarga cuba menutup muka suspek menggunakan baju putih dan jaket, manakala beberapa suspek lain pula menggunakan baju lokap untuk menutup wajah mereka daripada sasaran jurugambar. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Selasa lalu itu, peguam G Balasumdram, 57, yang sering memberi khidmat percuma kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM), maut ditikam dua lelaki bertopeng, dipercayai pembunuh upahan di hadapan kediamannya di Desa Rishah, di sini. 

Berikutan kejadian berkenaan, Polis Perak menubuhkan pasukan penyiasat di peringkat tertinggi untuk mengesan suspek kerana menganggap pembunuhan terancang itu satu kes serius yang mungkin ada kaitan dengan kes yang pernah dikendali mangsa sebelum ini. 
Pasukan penyiasat berkenaan yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, menggabungkan kepakaran pelbagai bidang membabitkan pegawai dari Ibu Pejabat Kontinjen Perak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Bukit Aman untuk mengendalikan kes itu. .

No comments:

Post a Comment