Search This Blog

Thursday, November 25, 2010

38 ekor kambing seludup bernilai RM14,000 dirampas



PADANG BESAR 24 Nov. – Sebuah ladang getah di Felcra Lubuk Sireh yang terletak hanya 400 meter dari sempadan Malaysia-Thailand di sini dipercayai dijadikan laluan oleh segelintir penyeludup untuk membawa masuk barangan dari negara jiran termasuk haiwan ternakan.
Buktinya, 38 ekor kambing jantan bernilai lebih RM14,000 ditemui sepasukan anggota Rejimen Sempadan yang baru mengambil alih tugas mengawas sempadan negara di sini petang semalam.
Kesemua haiwan ternakan itu ditinggalkan oleh dua lelaki yang melarikan diri sebaik sahaja menyedari perbuatan mereka itu disedari anggota Rejimen Sempadan terbabit.
Ketua Platun Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kapten Nasip Miroh berkata, kejadian pukul 4 petang itu berlaku ketika sepasukan anggota rejimen yang diketuainya bersama-sama lima anggota sedang melakukan rondaan harian.
Beliau berkata, ketika pasukannya mendaki bukit dalam jarak kira-kira satu kilometer dari Pos Simpang 5, Felcra Lubuk Sireh, mereka ternampak dua lelaki sedang menghalau kambing-kambing berkenaan menuruni bukit itu.
“Menyedari kehadiran pasukan kami, kedua-dua lelaki berkenaan segera lari meninggalkan kambing-kambing berkenaan,” katanya kepada pemberita di Pos Simpang 5 di sini hari ini.
Beliau percaya kedua-dua lelaki itu diupah oleh individu lain untuk membawa masuk ternakan tersebut tetapi pihaknya tidak dapat mengenalpasti identiti mereka.
“Kita percaya kambing-kambing tersebut dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di negara ini,” katanya.
Nasip berkata, jarak antara sempadan negara di kawasan kebun getah Felcra Lubuk Sireh dengan sempadan Thailand yang terlalu hampir menyebabkan penyeludup sanggup mengambil risiko untuk menyeludup ternakan walaupun kawalan ketat dilakukan pasukan keselamatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pasukannya baru sembilan hari mengambil alih kawalan keselamatan di kawasan berkenaan dari Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Ini adalah kes pertama kami sejak Rejimen Sempadan memulakan kawalan di kawasan sempadan berhampiran Felcra Lubuk Sireh,” katanya.
Menurut beliau, kesemua ternakan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment