Search This Blog

Saturday, October 23, 2010

Tujuh penculik kanak-kanak lelaki dihukum penjara


SHAH ALAM 22 Okt. - Tujuh lelaki masing-masing dihukum penjara antara lima dan tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap tertuduh-tertuduh antara 20 dan 22 April tahun lalu.
N. Arumugan, 43, R. Chandran, 24, K. Thianagaran, 26, K. Magindran, 28, dan R. Parameswaran, 27, diperintah menjalani hukuman penjara lima tahun manakala G. Thiagarajan, 20, dan M. Orabu, 21, masing-masing tiga tahun.
Dalam penghakiman ringkasnya, Asmabi berkata, kemiskinan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mereka melakukan kesalahan tersebut kerana banyak lagi pekerjaan yang boleh dilakukan.
''Kamu pun ada anak-anak, cuba letak diri kamu sebagai ibu bapa mangsa, anak hilang sekejap pun kita gelisah apatah lagi diculik dan dikurung selama lima hari.
''Walaupun mangsa tidak cedera dan dikembalikan dalam keadaan selamat tetapi ia (dibebaskan) selepas wang tebusan dibayar. Bayangkan apa yang berlaku jika wang tebusan tidak dibayar,'' katanya.
Kesemua tertuduh yang sebelum ini dibicarakan mengikut Akta Culik 1961 menukar pengakuan kepada bersalah bagi pertuduhan pilihan iaitu menculik seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ketika kejadian dengan tujuan mengurung mangsa secara sulit dan salah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Bandar Utama, Damansara dekat sini pada pukul 8.20 pagi, 10 April tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Suhairy Zakaria mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sementara tertuduh-tertuduh diwakili peguam S. Sundarajan, James George, P. Vijian, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Amirul Ridzuan Hanif.
Mengikut fakta kes, mangsa bersama ibunya keluar dari rumah untuk ke pusat tuisyen pada pukul 8 pagi apabila empat lelaki bersenjatakan parang muncul dengan sebuah kereta.
Empat lelaki itu bertindak memukul ibu mangsa manakala mangsa dilarikan dengan sebuah kereta Proton Satria berwarna hitam.
Pada hari yang sama, ibu mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak RM1 juta.
Selepas lima hari dikurung, mangsa akhirnya dibebaskan selepas bapanya menyerahkan RM1 juta kepada salah seorang tertuduh.

No comments:

Post a Comment