Search This Blog

Thursday, October 28, 2010

Tenggiling bernilai RM50,000 dirampas




MUAR – Pasukan Gerakan Marin (PGM) Muar berjaya merampas 23 tenggiling bernilai RM50,000 selepas menahan sebuah kereta Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan di Parit Tengah Darat, Parit Jawa, di sini, semalam. 

Pegawai Perintah Markas Operasi PGM Muar, Asisten Superintendan Mohd Nordin Osman berkata, kejayaan PGM merampas haiwan eksotik itu hasil maklumat dan risikan anggotanya. 

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, Ketua Operasi PGM, Inspektor Mohd Naser Marzuke dan beberapa anggota lain mengekori kenderaan suspek, seorang lelaki berumur lingkungan 40-an di Parit Jamil Darat, di sini. 

“Sebaik anggota PGM menghampiri dan mengarahkan kenderaan ini berhenti, suspek terus memecut kenderaannya. 

“Anggota PGM terus mengejar suspek sehingga ke Parit Tengah Darat di mana suspek memberhentikan kereta dan melarikan diri ke kawasan kebun sawit berhampiran,” katanya dalam sidang media di markas PGM, di sini, semalam. 

Mohd Nordin berkata, hasil pemeriksaan di bahagian bonet belakang kereta itu, anggota PGM menemui 23 karung mengandungi tenggiling, termasuk 17 karung berisi tenggiling betina. 

“Kami percaya haiwan ini diseludup dari negara jiran dan kawasan ini menjadi tempat transit sebelum diseludup semula ke negara lain," katanya. 

Mohd Nordin berkata, tahun ini PGM Muar berjaya membuat dua tangkapan berkaitan penyeludupan tenggiling. 

“Haiwan ini akan diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment