Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

'Tak lalu makan kenangkan anak'



Laporan dari Kepulauan Mentawai oleh Suhana Roslan

2010/10/31

MELDA yang mengalami kecederaan   ditemani ibunya, Warna ketika   mendapatkan rawatan di  Hospital Sikakap, Pulau Muntei, semalam.
MELDA yang mengalami kecederaan ditemani ibunya, Warna ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sikakap, Pulau Muntei, semalam.
Mangsa tsunami sedih hilang suami, 5 zuriat 

KEPULAUAN MENTAWAI: "Saya cuma berharap anak perempuan saya pulih seperti sedia kala," kata Warna, 39, seorang mangsa bencana tsunami di Pulau Muntei di sini, yang bersedih apabila suami dan lima anak lelakinya terkorban dalam kejadian itu, malam Isnin lalu.
Lebih menyedihkan anak perempuannya, Melda Yanti, 10, atau Melda ditemui tidak sedarkan diri sehingga semalam dan dipindahkan ke Hospital Padang bagi mendapatkan rawatan susulan tulang pinggangnya patah dipercayai dihempap pokok ketika dihanyutkan arus ombak tsunami 13 meter.
Dalam kejadian jam 11 malam itu (waktu tempatan), Warna bersama suami dan tujuh anaknya sedang tidur di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi gegaran kuat disusuli air besar seolah-olah sedang mengejarnya. 

“Saya hanya mampu berlari untuk menyelamatkan diri dan terpaksa memanjat bukit. Kejadian itu sangat menakutkan dan berlaku dalam tempoh kurang tiga minit. Apabila air surut saya turun bukit dan mencari keluarga. 

“Saya teruskan pencarian dan menemui Melda dalam keadaan tidak sedarkan diri di tebing sungai. Saya tidak berdaya mengangkatnya malah takut menyentuhnya bimbang tulang pinggang akan lebih teruk,” katanya ketika ditemui di Hospital Sikakap di sini, semalam. 

Warna berkata, sambil menangis mengendong Melda, beliau terus berusaha mencari suami dan lima anak lelakinya yang masih belum ditemui sehingga semalam. 
Warna yang bekerja sebagai petani itu juga kelihatan sangat muram dan hanya memandang Melda tanpa menghiraukan nasi yang dihidangkan sukarelawan dalam misi kemanusiaan. 

Melda bersama beberapa lagi mangsa tsunami akan dibawa ke Hospital Padang menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan susulan sejak berada di hospital serba daif itu Rabu lalu. 

Hanya seorang doktor wanita kelihatan bertugas bagi merawat pesakit yang mengalami kecederaan teruk dibantu sukarelawan termasuk Majlis Mujahiddin Indonesia (MMI) dan badan bukan kerajaan lain. 

Dalam kejadian gempa bumi berskala richter 7.2 malam Isnin lalu, dua kampung di kepulauan itu musnah iaitu Pulau Muntei dan Maonai. Kebanyakan penduduk berbangsa Minang sedang tidur ketika kejadian berlaku mengambil keputusan menyelamatkan diri dalam gereja. 

Bagaimanapun, gereja itu turut hancur dan menyebabkan lebih 200 mangsa tertimbus dalam runtuhan bangunan berkenaan. 

Sehingga petang semalam lebih 500 mayat ditemui di Pagai Selatan iaitu antara kawasan yang mengalami kematian tertinggi disebabkan bencana alam itu. Hanya bot kecil saja boleh menyusuri pantai itu yang mengambil masa selama tiga jam perjalanan dari Pulau Sikakap. Sejak kejadian itu, cuaca di kepulauan Mentawai sering dilanda hujan berangin dan penduduk diingatkan supaya lebih berwaspada. 

Dalam perkembangan lain, misi bantuan kemanusiaan selamat tiba di Pulau Sikakap di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari (waktu tempatan) semalam dan rata-rata menyambut kedatangan sukarelawan dan petugas media dengan baik.

No comments:

Post a Comment