Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

Sempat beli baju

SEDIH... Norsamsinar Elias (kanan), isteri Mohd Zaidi memeluk ibunya sewaktu tiba di tanah perkuburan. (Gambar kecil) Mohd Zaidi.
SEDIH... Norsamsinar Elias (kanan), isteri Mohd Zaidi memeluk ibunya sewaktu tiba di tanah perkuburan. (Gambar kecil) Mohd Zaidi.

BALING: “Arwah sempat membeli baju dan kasut untuk saya bagi menghadiri perbicaraan kes arwah anak saya pada Januari depan sebelum bertolak ke Genting Highlands,” kata Mohd Sobri Mohd Sufian, 48, abang kepada Mohd Zaidi, 28, yang maut bersama enam remaja dalam kemalangan bas di terowong Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak, malam kelmarin.
Menurutnya, dia sempat bergurau dengan arwah supaya memberinya sehelai baju dan tidak menyangka arwah berbuat demikian dengan membeli baju dan kasut untuknya.

“Selain itu, arwah adalah ketua Belia 4B cawangan kampung ini dan selalu mengadakan pelbagai program kerana dia tidak mahu remaja terjebak dengan gejala sosial,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, di sini, semalam.

Mohd Sobri tidak menyangka selepas kematian anaknya, Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16, pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mati dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior pada 24 Jun lalu, kini adik kelima daripada tujuh beradik itu pergi buat selama-lamanya.

Katanya, Mohd Zaidi yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang, di sini, adalah seorang yang aktif dalam persatuan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, tujuh maut manakala 38 cedera, 20 daripadanya parah, selepas sebuah bas rombongan dari Kampung Baru, Mukim Siong, di sini, terbabas sebelum terbalik berhampiran terowong Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak, malam kelmarin.

Bas yang membawa 44 orang termasuk dua pemandu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands untuk ke Kuala Lumpur.
Siasatan awal mendapati kemalangan diakibatkan kerosakan brek sebaik bas menuruni susur keluar ke lebuh raya.

Sementara itu, nenek kepada mangsa yang terkorban, Siti Salmiah Mahmud, 60, berkata cucunya, Mohamad Amirul Mohd Isa, 13, memintanya wang RM50 untuk mengikuti rombongan ke Genting Highlands malam kelmarin.

“Saya masih ingat lagi kata-katanya, “Nenek, adik nak minta duit RM50 untuk pergi rombongan bersama rakan sekolah di Genting Highlands dan tidak mahu mengaji lagi (bersekolah lagi).”
“Saya tidak sangka itulah kata-kata terakhirnya kepada kami dan ia sebenarnya petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya yang ditemui di Kampung Baru, Mukim Siong, di sini, semalam.

Siti Zainab Abdullah, 58, ibu Mohd Fahimi Abdul Mustaffa, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, anaknya tidak menunjukkan perubahan ketika bersalaman dengannya sebelum keluar rumah kira-kira jam 10 malam kelmarin.

“Saya reda apa yang berlaku kerana semua itu kehendak Allah dan menganggap suratan takdir dan bersyukur anak saya seorang lagi, Mohd Akram, 19, terselamat dalam kemalangan itu,” katanya.

Siti Zainab berkata, anak bongsu daripada sembilan beradik itu sangat rapat dengannya dan selalu bergurau, malah tidak pernah mengingkari segala suruhan, termasuk mengerjakan solat.

No comments:

Post a Comment