Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Pemandu nyaris dibelasah samseng jalan raya



SHAH ALAM – Berpunca daripada rasa tidak puas hati ketika memandu kenderaan, seorang lelaki nyaris dibelasah samseng jalan raya berhampiran Plaza Tol Setia Alam di Lebuhraya Klang-Shah Alam (LKSA), dekat sini, semalam.

Biarpun tidak mengalami kecederaan, cermin hadapan kenderaan pacuan empat roda milik mangsa dipecahkan. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dua suspek lelaki, menaiki sebuah kereta Proton Waja secara tiba-tiba memintas kenderaan mangsa. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, tindakan itu menyebabkan mangsa terus mengejar suspek. 

Menurutnya, suspek tidak terus memecut tetapi memperlahankan kenderaannya dan sebaik dipintas, mangsa terus menjeling ke arah suspek. 

“Suspek kemudianya memecut laju dan memotong kenderaan mangsa, sebelum bertindak memberhentikan kenderaan secara mengejut di hadapan mangsa. 

“Kejadian itu menyebabkan berlaku kemalangan kecil dan suspek terus keluar memecahkan cermin kereta mangsa, seterusnya melarikan diri,” katanya. 

Beliau berkata, beberapa jam selepas mangsa membuat laporan polis, kedua-dua suspek dikesan dan terus diberkas. 

”Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek terbabit positif dadah dan kami turut menemui satu paket kecil dadah dalam seluar seorang daripada suspek,” katanya. 

Menurutnya, seorang suspek itu turut mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan berbaur jenayah kepada mangsa serta khianat kenderaan.

No comments:

Post a Comment