Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Pemandu maut jentolak terhumban ke lombong



IPOH 5 Okt. - Seorang pemandu jentolak maut selepas jentera yang digunakan untuk meratakan tanah berhampiran sebuah lombong tinggal di Taman Pengkalan Timur, Pasir Puteh di sini hari ini terhumban ke dalam lombong tersebut.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kejadian pukul 9.45 pagi itu berlaku apabila mangsa, Kow Piang Kin, 54, dikatakan gagal mengawal jentolak tersebut.
Katanya, orang ramai yang berada berhampiran kawasan itu berusaha membantu mengeluarkan Piang Kin dari lombong tersebut namun tidak berjaya menyelamatkan nyawa pemandu itu.
"Mangsa yang berjaya dikeluarkan dari lombong mati dipercayai lemas akibat ditimpa jentolak," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penumpang maut manakala pemandunya cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu terbakar di Kilometer 196.4, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kerian petang semalam.
Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa, Teh Huey Ru, 29, maut setelah separuh badannya melecur akibat kebakaran.
Pemandu kereta tersebut, Lee Choo Kheng, 24, mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di hospital yang sama.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua MyVi yang dipandu Choo Kheng, dalam perjalanan dari Ipoh ke Pulau Pinang.
"Tiba di tempat kejadian, kereta itu dikatakan terbabas sebelum merempuh bahagian tebing konkrit tepi jalan menyebabkannya terbakar," katanya kepada pemberita di sini.

No comments:

Post a Comment