Search This Blog

Monday, October 4, 2010

Pegawai penyiasat digalak hubungi pengadu - KPN



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar menggalakkan semua pegawai penyiasat pasukan itu menghubungi pengadu-pengadu kes dari semasa ke semasa bagi memaklumkan perkembangan hasil siasatan.
Beliau berkata, ia salah satu inisiatif dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurutnya, beliau percaya pengadu akan berasa gembira dan berpuas hati dengan polis apabila mengetahui perkembangan siasatan kes yang dilaporkan.
"Galakan meminta pegawai penyiasat menghubungi pengadu untuk memaklumkan perkembangan siasatan terutama kes-kes lama sudah dikeluarkan oleh saya sebelum menjadi KPN lagi dan mahu ia diteruskan.
"Hubungilah pengadu kerana jika 1,000 orang pegawai penyiasat menghubungi pengadu dalam sehari, maka banyak masalah pengadu boleh kita beri maklum balas atau ringankan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temuramah pertama bersama media selepas menjawat jawatan KPN di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Ismail, galakan supaya pegawai penyiasat menghubungi pengadu itu diharap dapat dilaksanakan di seluruh negara demi meningkatkan lagi imej PDRM.
Setakat ini, katanya, polis kontinjen Johor sudah melaksanakan pendekatan itu dengan 1,900 pengadu telah dihubungi bagi memaklumkan perkembangan kes mereka.
Dalam pada itu, Ismail juga mahu anggota polis terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan memberi tindak balas cepat terhadap setiap laporan yang diterima.
Beliau berkata, setiap pengadu yang membuat laporan di balai polis perlu dilayan mesra manakala arahan dikeluarkan untuk menjalankan siasatan pula dibuat secara teratur dan kemas.
Katanya, tindak balas cepat tidak hanya ditumpukan di balai-balai polis tetapi turut melibatkan perkhidmatan lain seperti proses pengeluaran saman.
"Saman adalah penguatkuasaan undang-undang namun orang ramai harus dimaklumkan cepat jika mereka disaman supaya mereka boleh membuat persediaan untuk menghadapinya. Mana boleh setahun disamun baru mereka dimaklumkan, saya pun tidak gembira jika diperlakukan begitu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment