Search This Blog

Sunday, October 10, 2010

Mayat bayi perempuan ditemui tertanam


SHAH ALAM 9 Okt. - Penduduk Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini gempar dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan yang ditanam berhampiran Sungai Klang hari ini.
Mayat bayi malang itu ditemui seorang penduduk, Harun Sungep, 25, kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang mengutip keladi berhampiran sungai berkenaan.
Harun sebelum itu ternampak satu kesan timbunan tanah ditutup dengan bekas polistirena tidak jauh dari kawasan semak berdekatan sungai.
Curiga dengan timbunan tanah itu, dia kemudian cuba mengorek tanah dengan menggunakan parang dan terkejut apabila melihat sebelah tangan bayi terkeluar dari balutan kain putih.
Selepas itu, dia memanggil abang iparnya, Mazlan Endut, 43, sebelum mereka sama-sama mengorek timbunan tanah itu dan menemui mayat bayi perempuan yang cukup sifat.
"Saya lihat mayat bayi itu masih bertali pusat dan berlumuran darah.
"Malah, saya nampak di kepala bayi itu seperti ada kesan hentakan tetapi saya dan abang ipar saya tidak berani menyentuhnya sehinggalah polis tiba selepas dihubungi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut dan memberitahu mayat bayi perempuan itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa bayi malang itu meninggal dunia sejak empat hari lalu.

No comments:

Post a Comment