Search This Blog

Thursday, October 28, 2010

Lintas jalan bawa padah


 

KLANG - Tindakan seorang pejalan kaki yang juga pekerja swasta melintas jalan membawa padah selepas dia dilanggar motosikal di Persimpangan Tengku Ampuan Rahimah berhadapan stesen minyak Petronas, Taman Desawan di sini dalam kejadian awal pagi semalam. 

Tragedi yang berlaku kira-kira jam 12.55 pagi, mangsa, TRR Geevarajah, 31, beralamat di Lebuh Setaka, Taman Chi Liung, patah tangan kiri dan mengalami luka di bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, siasatan polis mendapati mangsa melintas jalan seorang diri. 

“Belum sempat mangsa sampai ke seberang jalan, secara tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah Klang dan dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun gagal mengelak lalu melanggar kaki mangsa. 

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala penunggang motosikal turut luka di bahagian tangan dan lutut kanan,” katanya. 

Menurutnya, mayat mangsa kemalangan kemudiannya dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

“Penunggang motosikal yang dalam perjalanan menuju arah Banting turut tercedera dan dia dikejar ke hospital sama untuk rawatan susulan. 

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Sesiapa yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta menghubungi Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Naim Saufy di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment