Search This Blog

Wednesday, October 6, 2010

Kontraktor maut dirempuh kereta ketika lintas jalan



KUANTAN – Seorang kontraktor maut akibat dirempuh sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna biru ketika cuba menyeberangi jalan di Jalan Kuantan – Sungai Lembing berhampiran Restoran Rahmat, Indera Mahkota di sini semalam. 

Mangsa, Jubari Ismail, 49, berasal dari Sungai Soi, dekat sini yang cuba melintas jalan selepas bertemu berjumpa anak saudaranya di sebuah restoran berhampiran kira-kira jam 1.40 petang semalam mati di tempat kejadian akibat parah di kepala. 

Anak saudara mangsa, Mohd Faizal Hashim, 29 berkata, dia berjanji dengan bapa saudaranya itu untuk berjumpa di Restoran Rahmat sebelum mereka berdua pergi ke sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta untuk urusan perniagaan. 

Menurutnya, bapa saudaranya meletakkan kenderaan di seberang jalan berdekatan Masjid Tengku Ampuan Afzan dan berjumpanya di restoran itu. 

“Selepas pak cik saya sampai, kami kemudiannya hendak ke Kolej Shahputra untuk berjumpa pelanggan kami bagi membincangkan soal perniagaan. 

“Saya kemudiannya menaiki kenderaan saya dan pak cik saya menyeberangi jalan untuk ke kenderaannya lalu saya terdengar bunyi hon dan dentuman kuat. Apabila saya melihat melalui cermin sisi kenderaan, saya ternampak pak cik saya terbaring berlumuran darah di atas jalan raya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam. 

Mohd Faizal kemudiannya mendapati bapa saudaranya itu sudah tidak sedarkan diri dan dia beberapa kali cuba mengejut mangsa namun tiada tindak balas. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha berkata, kemalangan yang meragut nyawa pejalan kaki itu berlaku ketika mangsa cuba melintas jalan dari arah kanan ke kiri sebelum dirempuh kereta dalam perjalanan dari arah Indera Mahkota menghala ke Bandar Kuantan. 

Menurutnya, akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. 

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

No comments:

Post a Comment