Search This Blog

Saturday, October 30, 2010

Kecoh diserbu waris pekerja ladang



KUALA LUMPUR 29 Okt. - Suasana tenang di pekarangan lobi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertukar kecoh hari ini apabila kira-kira 40 penduduk Ladang Bukit Jalil datang untuk menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar.
Memorandum itu berikutan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan DBKL yang dikatakan mengeluarkan surat arahan berpindah keluar kepada sembilan keluarga di ladang berkenaan.
Penduduk terbabit bertegas mahu berjumpa sendiri dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail atas alasan mahu mendengar sendiri penjelasan daripada beliau.
Wakil penduduk, K. Balakrishnan, 53, mendakwa, mereka terbabit adalah waris sah pekerja ladang itu dan tidak wajar diarahkan berpindah.
Ladang berkenaan sebenarnya sudah diambil alih oleh Kerajaan Pusat sejak tahun 1980 lagi dan difahamkan, kerajaan telah bersetuju untuk membayar pampasan berjumlah RM734,160 kepada 93 keluarga bekas pekerja ladang berkenaan.
Bagaimanapun, hanya 60 keluarga menerima tawaran itu manakala selebihnya iaitu 39 keluarga masih lagi menetap di kawasan berkenaan.
Ahmad Fuad ketika ditemui berkata, beliau telah berjumpa dengan penduduk berkenaan bersama-sama Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Aziz.
"Saya juga menerima memorandum tersebut walaupun mereka tidak memaklumkan perkara tersebut lebih awal.
"Mereka mengutarakan tiga perkara untuk diambil berat oleh DBKL iaitu sekolah, kuil dan tanah perkuburan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu sebenarnya sudah pun dijelaskan kepada mereka sebelum ini dan justeru itu tidak perlu dirisaukan lagi.
"Misalnya, pihak kerajaan tidak bercadang untuk mengubah struktur sekolah di ladang berkenaan.
Jika perlu sekali pun, maka sebuah sekolah baru akan dibina bagi menggantikan sekolah sedia ada.
"Malah, sekolah tersebut juga hanya terletak 50 meter dari kediaman baru mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, Puchong.
"Begitu juga dengan kuil yang terdapat di ladang berkenaan, pihak DBKL tidak bercadang untuk mengubahnya," kata beliau.
Malah, katanya, kesemua 39 keluarga tersebut termasuk 13 keluarga yang mendiami setinggan di kawasan itu ditawarkan untuk membeli atau menyewa rumah PPR Muhibbah.
Namun begitu, kata Ahmad Fuad, kerajaan tidak boleh menyerahkan tanah perkuburan kepada mereka kerana tanah perkuburan di ibu negara semakin terhad, selain kawasan itu dicadangkan untuk dijadikan tanah perkuburan untuk semua agama.
Mengulas mengenai sembilan penduduk yang mendapat surat arahan berpindah keluar daripada DBKL, Ahmad Fuad akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu.
Katanya, siasatan itu akan menumpukan sama ada penduduk terbabit benar-benar waris pekerja ladang itu atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment