Search This Blog

Monday, October 18, 2010

GRO sembunyi dalam stor elak kena cekup



SEREMBAN – Sekumpulan wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) sanggup menyembunyikan diri di stor simpanan barang sebuah pusat hiburan untuk menyelamatkan diri daripada dicekup anggota polis dalam serbuan di Taman AST, dekat sini malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, sepasukan polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan itu, seramai sembilan GRO berusia antara 20 dan 31 tahun ditahan. 

Pegawai Turus D7 Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Habibi Majinji berkata, intipan dilakukan pihak polis ke atas pusat hiburan tersebut selepas menerima maklumat mengenai kegiatan wanita berkenaan. 

“Mula-mula kita tidak jumpa wanita berkenaan dan kita percaya mereka melarikan diri sebaik menyedari pasukan polis melakukan operasi. 

“Tetapi akhirnya tindakan mereka bersembunyi dalam satu bilik sulit yang terletak di belakang loker tempat menyimpan barang berjaya dihidu polis. 

“Ada juga antara mereka yang bersembunyi dalam loker berkenaan,” katanya selepas selesai melakukan serbuan, malam kelmarin. 

Beliau berkata, ketika serbuan, tiga pelanggan di dalam pusat hiburan itu turut ditahan dan keterangan mereka diambil untuk siasatan lanjut. 

“Berdasarkan siasatan awal, semua wanita membabitkan tujuh dari China dan dua dari Thailand itu didapati masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar tetapi menyalah gunakan untuk bekerja. 

“Pusat hiburan itu bagaimanapun mempunyai lesen perniagaan yang sah. Kita juga menahan semua wanita tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya. 

Habibi berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan stor berkenaan dijadikan tempat pelindungan setiap kali pihaknya melakukan serbuan. 

“Kita akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan maksiat di negeri ini dan pada masa yang sama meminta kerjasama orang ramai agar tampil memberikan maklumat mengenai kegiatan seumpama ini,” katanya.http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment