Search This Blog

Saturday, October 23, 2010

Enam spesies ikan dilindungi dirampas



23/10/2010 6:20pm

TAWAU – Jabatan Perikanan Sabah berjaya merampas enam spesies ikan yang dilindungi termasuk ikan mameng yang diharamkan untuk eksport, di Lapangan Terbang Tawau hari ini, dipercayai cuba diseludup ke Hong Kong.
Pegawai Perikanan Tawau, Azhar Kassim berkata, ikan-ikan bernilai RM30,000 itu ditemui hasil pemeriksaan anggotanya ke atas 26 buah kotak yang baru diturunkan dari sebuah lori yang tiba dari Semporna kira-kira pukul 7 pagi.
Pemeriksaan mendapati 21 kotak mengandungi ikan hidup dan bakinya ikan mati, dan kesemuanya tidak mempunyai permit eksport dari jabatan kami serta kastam, katanya kepada pemberita di sini.
"Pengirim itu memilih penerbangan pertama ke Kota Kinabalu untuk transit sebelum berlepas ke Hong Kong dan dijangka sampai ke negara itu menjelang petang hari ini,” katanya.
Beliau berkata, spesies ikan hidup lain yang dirampas ialah udang kara seberat 150kg, udang lipan (200 ekor), udang setak (10kg), ikan sebelah (50 ekor) dan ikan depu berbisa sebanyak tujuh ekor. – Bernama

No comments:

Post a Comment