Search This Blog

Monday, October 4, 2010

CEO maut dalam kemalangan



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat perisian anti-virus, Extol MSC Berhad, maut setelah motosikal berkuasa tingginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 11 Jalan Ulu Yam Baru menghala Sungai Tua, dekat sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 10 pagi, mangsa, Justin Tan Seng Kooi, 38, berasal dari Petaling Jaya, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR1000 dikatakan berkonvoi bersama lapan penunggang motosikal berkuasa tinggi lain dari Kuala Lumpur menghala Genting Highlands.
Menurut Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Supritendan Che Hussin Omar, mangsa dikatakan sedang mengambil selekoh apabila hilang kawalan terhadap motosikalnya dan memasuki laluan bertentangan.
Katanya, motosikalnya itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja yang datang dari arah hadapan.
"Pemandu kereta berkenaan bersama tiga ahli keluarganya dalam perjalanan dari Ulu Yam Baru menghala ke Kuala Lumpur.
"Tiga penumpang kereta terbabit hanya cedera ringan manakala pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan motosikal mangsa terputus dua dan bahagian enjinnya tercampak kira-kira 10 meter ke dalam gaung.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat. Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

No comments:

Post a Comment