Search This Blog

Thursday, October 28, 2010

Bekas setiausaha palsukan invois didenda RM2.2 juta



Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2010/10/28

Kemuka dua dokumen tipu pembelian, pembekalan peluru 

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Persatuan Rifel Kebangsaan Malaysia, Ismail Zainuddin dihukum penjara tiga bulan dan denda RM2.2 juta oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas didapati bersalah mengemukakan dua dokumen palsu berbentuk invois berjumlah RM441,000 kepada Majlis Sukan Negara (MSN), lima tahun lalu.
Hakim Rosbiahanin Ariffin memerintahkan hukuman penjara itu berjalan bermula semalam dan tambahan penjara enam bulan jika Ismail, 46, gagal membayar denda itu.
Rosbiahanin menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, tetapi membenarkan pihak pembelaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi. 

Dalam penghakimannya, Rosbiahanin berkata, beliau membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan. 

Pada 11 Ogos 2008, Ismail mengaku tidak bersalah memberikan dua invois Vision Arms Sports Centre Sdn Bhd palsu kepada Pengarah Bahagian Persediaan Antarabangsa, MSN, Ahmad Shapawi Ismail di pejabat MSN di Bukit Jalil di sini, antara 7 dan 15 September 2005. 

Dokumen itu mengandungi butiran mengenai pembelian dan pembekalan peluru syarikat itu untuk Persatuan Rifel Kebangsaan Malaysia di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi. 
Ismail yang bertongkat dan kelihatan lemah, didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, peguam Ismail, Md Ridzuan Othman, memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira faktor kesihatan tertuduh yang menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung, selain perlu mengambil ubat yang banyak. 

Timbalan Pendakwa Raya Roziza Sidek dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata alasan itu tidak cukup kukuh untuk mendapatkan hukuman ringan kerana kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan tertuduh.

No comments:

Post a Comment