Search This Blog

Tuesday, October 5, 2010

Beckham heret pelacur ke mahkamah



LONDON 4 Okt. – Selepas pemain golf terkemuka dunia, Tiger Woods berhadapan skandal seks yang menghancurkan rumah tangganya, kini giliran bekas kapten pasukan England, David Beckham pula berhadapan skandal hampir serupa.
Pemain itu yang kini bermain untuk kelab LA Galaxy tidak mampu berdiam diri lagi apabila dia dilaporkan akan mengheret seorang pelacur Irma Nici ke mahkamah, selepas wanita itu mendakwa kononnya mereka pernah tidur bersama.
“Beckham akan meneruskan usaha untuk mengheret pelacur itu ke muka pengadilan. Beckham yakin dia mempunyai pasukan peguam yang paling kuat dan akan memastikan perkara tersebut berlaku.
“Dia juga tetap tenang dengan membiarkan pasukan peguamnya menjalankan tugas mereka, ketika dia terus memberikan tumpuan bermain untuk LA Galaxy,” jelas laporan The Sun yang memetik satu sumber.
Bintang bola sepak itu menyaman Nici sebanyak 16 juta pound (RM78 juta) berhubung dakwaan wanita itu dia pernah tidur bersama Beckham di London dan New York pada 2007.
Menurut satu lagi sumber, peguam pelacur kelahiran Bosnia itu hari ini mendedahkan bahawa Nici turut mengemukakan saman balas terhadap Beckham kerana menyekat haknya untuk bersuara.
Satu sumber kepada pemain bola sepak itu memberitahu bahawa sebarang tindakan undang-undang oleh Nici merupakan satu kelebihan buat pasukan peguam Beckham kerana ia akan memaksa pelacur itu memberikan keterangan di mahkamah.
Sementara itu, ketika skandal seks menyelubungi Beckham, isterinya Victoria dilihat berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles semalam, untuk ke London.
Dengan cermin mata hitam, pakaian formal berwarna kelabu, beg tangan serta beg pakaian sedondon, ibu kepada tiga anak itu kelihatan tabah ketika dia berjalan menuju terminal untuk perjalanan antarabangsa.
Di saat dia pastinya kecewa dengan kecurangan yang didakwa dilakukan suaminya, Victoria membuat dirinya sibuk dengan melengkapkan jenama fesyen barunya bagi musim bunga dan musim panas akan datang yang bakal diperagakan pada Minggu Fesyen New York. – Agensi

No comments:

Post a Comment