Search This Blog

Thursday, October 28, 2010

Aleeza Kassim sah bercerai dengan suami



KUALA LUMPUR 27 Okt. - Model dan pelakon terkenal, Aleeza Kassim menangis teresak-esak selepas disahkan bercerai dengan suaminya, Datuk Mohd. Fauzi Che Rus di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Perceraian secara baik pasangan yang telah mendirikan rumahtangga sejak empat tahun lalu, dibuat secara tertutup apabila ungkapan cerai tersebut dilafazkan oleh Mohd. Fauzi di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Suhaily Rosdi.
Pasangan tersebut sebelum itu dilihat memasuki kamar hakim berkenaan pada pukul 9.15 pagi dan keluar 15 minit kemudian.
Sejurus selepas selesai prosiding tersebut, Mohd. Fauzi, 47, yang nampak tenang cuba mententeramkan Aleeza, 40, yang berpakaian serba hitam.
Ketika dihampiri oleh wartawan dan jurufoto, kedua-dua mereka yang enggan ditemubual bergegas meninggalkan pekarangan mahkamah.
Pasangan ahli perniagaan dan peragawati itu pulang secara berasingan dengan menaiki kenderaan masing-masing.
Menurut peguam syarie, Muhammad Nur Hafiz Roslan yang mewakili Mohd. Fauzi, prosiding perceraian tersebut berjalan secara baik dan isu berkaitan mutaah, nafkah serta harta sepencarian juga telah selesai.
Namun peguam tersebut enggan mendedahkan jumlah talak yang disabitkan ke atas pelakon filem Susuk itu yang tidak diwakili peguam syarie.
Katanya lagi, Mohd. Fauzi berhasrat menunaikan haji di Tanah Suci Mekah tidak lama lagi sementara Aleeza pula akan membawa diri seketika untuk menenangkan fikirannya.
''Mereka merupakan pasangan yang secocok, doakanlah mereka kembali bersama suatu hari nanti,'' ujar beliau penuh makna.
Aleeza dan Mohd. Fauzi bernikah di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta di sini pada 16 Julai 2006 dan pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.
Mohd. Fauzi bagaimanapun mempunyai dua anak menerusi perkahwinan pertamanya.
Perceraian itu berlaku kira-kira enam bulan selepas pasangan tersebut memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada April lalu.
Bagaimanapun pada 11 Mei lalu, mahkamah tersebut memutuskan mereka masih suami isteri yang sah kerana talak berkenaan tidak sempurna.
Hakim Syarie, Fazil Che Hasan dalam keputusannya menyatakan, lafaz 'kita bercerai esok' yang diucapkan oleh Mohd. Fauzi pada pukul 9 malam, 24 Januari lalu di kediaman pasangan itu adalah berbentuk hasrat dan bukannya lafaz cerai.
Menurut Fazil lagi, lafaz berkenaan cuma dilafazkan defendan pada waktu itu tetapi ia tidak dilaksanakannya pada masa yang dihasratkan.

No comments:

Post a Comment