Search This Blog

Sunday, October 10, 2010

2 pelajar cedera dipukul di Sungai Petani



10/10/2010 4:52pm

SUNGAI PETANI — Dua pelajar sekolah menengah di Taman Ria di sini, cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan remaja dalam dua kes berasingan Khamis lalu.
Salah seorang mangsa yang merupakan calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Mohd Suwandi Afiq Ramlee, 15, terseliuh bahu kanan serta cedera di beberapa bahagian badan selepas dipukul sembilan pelajar sekolahnya pada pukul 10.10 pagi.
Bapa mangsa, Ramlee Saad, 57, mendakwa Mohd Suwandi dipukul sekumpulan pelajar dalam kawasan sekolah dipercayai selepas berlaku salah faham di kantin sekolah sebelum kejadian.
"Saya dihubungi seseorang daripada hospital (Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani) memberitahu anak saya cedera dipukul.
"Saya kemudian telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada malam itu juga (Khamis),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Ridzuan Ahmad, 16, yang cedera serta lebam di beberapa bahagian badan pula mendakwa diserang sekumpulan remaja di tepi kawasan sekolahnya di Taman Ria sehingga tidak sedarkan diri pada hari yang sama kira-kira pukul 4 petang.
"Waktu tu saya jalan seorang diri, tak tau sebab apa kena pukul, saya tak kenal mereka,” katanya yang juga merupakan rakan kepada Mohd Suwandi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan dan berkata pihaknya sedang menyiasat kes terbabit.
"Kejadian ini adalah pergaduhan biasa melibatkan pelajar sekolah yang berselisih faham di sekolah,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment