Search This Blog

Thursday, October 28, 2010

11 wanita rugi RM100,000





2010/10/28

KUALA LUMPUR: Seramai 11 wanita pekerja hotel di sini mendakwa kerugian kira-kira RM100,000 selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas kepada seorang wanita dikenali sebagai Kak Jan yang berjanji akan melaburkan wang itu bagi mendapatkan keuntungan berganda. 

Kak Jan berurusan dengan pelanggannya di dalam kereta jenis Peugeot miliknya sejam setiap pelanggan berhubung kebaikan pelaburannya sebelum memukau mereka.
Seorang pegawai hotel, Maizuwin Hamzah, 29, berkata beliau mengenali Kak Jan melalui seorang rakan kerjanya. “Pada mulanya saya kurang berminat tetapi selepas mendengar dia bercerita mengenai keuntungan yang bakal diperoleh, saya semakin tertarik untuk turut serta. Keesokan harinya saya menyerahkan barang kemas dan wang tunai bernilai hampir RM6,000 kepada Kak Jan.

“Kak Jan menjanjikan kami akan memperoleh pulangan sebelum Aidilfitri lalu tetapi sehingga kini tidak mendapat apa-apa. Malah, lebih menyedihkan telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi,” katanya semalam. 

Maizuwin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wanita berusia 38 tahun itu yang berasal dari Pulau Pinang menggunakan kaedah pukau kerana sebaik mangsa keluar dari keretanya baru mereka sedar tindakan itu salah. 

Kak Jan juga dikatakan menasihati semua pelanggannya supaya tidak memaklumkan mengenai pelaburan mereka kepada suami atau ahli keluarga terdekat. 
Selepas percaya dia ditipu, Maizuwin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, pada 21 September lalu. Semua rakannya turut membuat laporan di beberapa balai polis di ibu negara. 

Seorang lagi pekerja hotel sama, Siti Khadijah Amsar, 36, berkata beliau mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas kepada wanita itu. 

“Penat saya bekerja di hotel selama 13 tahun untuk mengumpul wang sebanyak itu tetapi semuanya musnah sekelip mata. Saya rasa memang dia mengamalkan sesuatu yang boleh melembutkan hati orang untuk menyerahkan duit kepadanya. 

“Kali terakhir saya berjumpanya adalah sehari sebelum Hari Raya. Saya khuatir dia sudah meninggalkan negara ini kerana mendakwa sudah bernikah dengan lelaki warga Amerika,” katanya. 

Mangsa berharap polis bertindak segera menahan wanita itu kerana dipercayai turut mengembangkan kegiatannya di sekitar Ampang dan Wangsa Maju. 

Sementara itu, jurucakap polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment