Search This Blog

Sunday, October 31, 2010

Lapan 'jemaah haji' cuba seludup dadah diberkas




ISLAMABAD: Pegawai anti-dadah Pakistan semalam memberkas lapan orang kerana disyaki cuba menyeludup dadah ke Arab Saudi, enam daripada mereka dalam pesawat yang membawa jemaah haji, kata para pegawai.
Panglima Pasukan Anti-Narkotik (ANF), Brigadier Muhammad Amir Khan, berkata pihak berkuasa mendapat maklumat ada orang yang menyamar sebagai jemaah haji, hendak menyeludup dadah ke Arab Saudi dari Peshawar.Dua penyeludup diberkas dari sebuah kem penginapan jemaah haji di Peshawar pagi semalam, sementara enam orang lagi dikeluarkan dari sebuah pesawat menuju ke Jeddah di lapangan terbang Peshawar.Para pegawai ANP berkata enam penyeludup yang ditangkap itu telah menelan kapsul berisi heroin. Oleh itu mereka dibawa ke hospital untuk mengeluarkan semula kapsul berkenaan. Seorang wanita termasuk mereka yang diberkas, kata beliau.Menurut Brigedier Amir Khan, semua yang ditahan itu rakyat Pakistan. Enam daripada mereka berasal dari Punjab dan dua lagi dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa. Beberapa rakyat Pakistan pernah diberkas di Arab Saudi kerana menyeludup dadah sebelum ini dan ada yang dihukum pancung. -- Agensi.

Ciuman anak untuk ibu

SELAYANG: “Saya pelik apabila anak saya sanggup berpatah balik untuk mencium dahi dan pipi saya. Dengan seorang adiknya juga dia buat begitu. Rupa-rupanya ada malapetaka yang bakal menimpa,” kata Norhayzam Hasan 37, ibu kepada Mohd Airil Azizi Azhari, 15 yang terselamat dalam kemalangan bas membabitkan rombongan Belia 4B, Baling Kedah, kelmarin berhampiran terowong Genting Sempah di Kilometer 36 Lebuhraya Karak, malam kelmarin.
Menurut Norhayzam, Mohd Airil, 15, disifatkannya berkelakuan aneh sebelum berangkat mengikuti rombongan berkenaan apabila menciumnya sebanyak tiga kali.

“Saya memang sudah tak sedap hati sebab anak saya jarang berbuat demikian, tetapi perasaan itu saya simpan saja.

“Tak sangka perasaan tidak sedap hati saya itu benar-benar memberi kejutan apabila anak saya terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang, di sini.

Norhayzam berkata Mohd Airil, anak ketiga daripada lima beradik sempat menghubunginya sejurus selepas kemalangan berlaku untuk memberitahu dia terbabit dengan kemalangan.

“Dia (Mohd Airil) memberitahu kakinya tersepit. Saya menjawab jangan main-main dan selepas itu talian terputus.
“Dalam keadaan panik, saya dapat pula khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang rakannya memberitahu anak saya cedera parah. Lemah lutut jadinya,” katanya.

Menurut Norhayzam, dia terus membeli tiket bas dan bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 11 malam.

“Syukur Alhamdulillah, anak saya selamat. Dia menerima 15 jahitan di kepala dan luka teruk di dada. “Semoga dia cepat sembuh,” katanya yang juga ibu tunggal dari Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, Kedah.

Bagi Saadiah Man, 58, dia hampir pengsan apabila mendapat tahu anaknya terbabit dalam kemalangan ngeri berkenaan.

“Anak saya seorang saja. Ketika menerima panggilan telefon mengatakan anak saya kemalangan, lemah lutut saya sampai rasa nak pengsan,” katanya.

Penduduk bertempiaran Merapi meletup lagi

HARGOBINANGUN, (Indonesia): Gunung Merapi di Indonesia yang meletup lagi pada awal pagi, semalam mencetuskan keadaan huru-hara apabila penduduk yang panik bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Letupan kuat yang berlaku kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan itu menyebabkan puluhan anggota tentera dan polis yang berkawal dekat kaki gunung serta beratus-ratus penduduk bergegas meninggalkan tempat itu menggunakan kereta dan motosikal.

Menurut sumber rasmi, tiada nyawa terkorban dalam kejadian letupan terbaru itu walaupun kakitangan hospital melaporkan dua orang terbunuh ekoran keadaan huru-hara yang berlaku. Setakat ini, 36 orang disahkan menjadi mangsa yang terkorban dalam kejadian letupan Gunung Merapi yang belaku pada Selasa lalu.

Penduduk, Kris Budianto, 51, memberitahu dia jatuh dari motosikal ketika terburu-buru untuk menyelamatkan diri. “Saya sedang tidur di veranda rumah apabila bunyi letupan kuat seperti guruh mengejutkan saya,” kata Kris.

“Saya bingkas bangun lalu terus menaiki motosikal dalam keadaan panik untuk menyelamatkan diri, tetapi dalam perjalanan saya terjatuh dari motosikal,” katanya yang cedera di muka dan patah tangan kanan.

Debu panas menyelubungi lapangan terbang Yogyakarta hingga sejauh 26 kilometer menyebabkan ia ditutup lebih sejam untuk pekerja membersihkan kawasan landasan.
Sementara itu, pegawai bencana alam kerajaan, Subandrio tidak menolak kemungkinan akan berlaku insiden letupan susulan.

“Kami menjangkakan akan berlaku letupan susulan kerana kami menemui banyak lagi kegiatan magma di kawah Merapi,” kata Subandrio. - AFP

Sempat beli baju

SEDIH... Norsamsinar Elias (kanan), isteri Mohd Zaidi memeluk ibunya sewaktu tiba di tanah perkuburan. (Gambar kecil) Mohd Zaidi.
SEDIH... Norsamsinar Elias (kanan), isteri Mohd Zaidi memeluk ibunya sewaktu tiba di tanah perkuburan. (Gambar kecil) Mohd Zaidi.

BALING: “Arwah sempat membeli baju dan kasut untuk saya bagi menghadiri perbicaraan kes arwah anak saya pada Januari depan sebelum bertolak ke Genting Highlands,” kata Mohd Sobri Mohd Sufian, 48, abang kepada Mohd Zaidi, 28, yang maut bersama enam remaja dalam kemalangan bas di terowong Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak, malam kelmarin.
Menurutnya, dia sempat bergurau dengan arwah supaya memberinya sehelai baju dan tidak menyangka arwah berbuat demikian dengan membeli baju dan kasut untuknya.

“Selain itu, arwah adalah ketua Belia 4B cawangan kampung ini dan selalu mengadakan pelbagai program kerana dia tidak mahu remaja terjebak dengan gejala sosial,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, di sini, semalam.

Mohd Sobri tidak menyangka selepas kematian anaknya, Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16, pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mati dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior pada 24 Jun lalu, kini adik kelima daripada tujuh beradik itu pergi buat selama-lamanya.

Katanya, Mohd Zaidi yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang, di sini, adalah seorang yang aktif dalam persatuan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, tujuh maut manakala 38 cedera, 20 daripadanya parah, selepas sebuah bas rombongan dari Kampung Baru, Mukim Siong, di sini, terbabas sebelum terbalik berhampiran terowong Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak, malam kelmarin.

Bas yang membawa 44 orang termasuk dua pemandu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands untuk ke Kuala Lumpur.
Siasatan awal mendapati kemalangan diakibatkan kerosakan brek sebaik bas menuruni susur keluar ke lebuh raya.

Sementara itu, nenek kepada mangsa yang terkorban, Siti Salmiah Mahmud, 60, berkata cucunya, Mohamad Amirul Mohd Isa, 13, memintanya wang RM50 untuk mengikuti rombongan ke Genting Highlands malam kelmarin.

“Saya masih ingat lagi kata-katanya, “Nenek, adik nak minta duit RM50 untuk pergi rombongan bersama rakan sekolah di Genting Highlands dan tidak mahu mengaji lagi (bersekolah lagi).”
“Saya tidak sangka itulah kata-kata terakhirnya kepada kami dan ia sebenarnya petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya yang ditemui di Kampung Baru, Mukim Siong, di sini, semalam.

Siti Zainab Abdullah, 58, ibu Mohd Fahimi Abdul Mustaffa, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, anaknya tidak menunjukkan perubahan ketika bersalaman dengannya sebelum keluar rumah kira-kira jam 10 malam kelmarin.

“Saya reda apa yang berlaku kerana semua itu kehendak Allah dan menganggap suratan takdir dan bersyukur anak saya seorang lagi, Mohd Akram, 19, terselamat dalam kemalangan itu,” katanya.

Siti Zainab berkata, anak bongsu daripada sembilan beradik itu sangat rapat dengannya dan selalu bergurau, malah tidak pernah mengingkari segala suruhan, termasuk mengerjakan solat.

Lelaki maut dilanggar pacuan empat roda semasa lintas lebuh raya

IPOH: Seorang lelaki terbunuh selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda semasa dia menyeberang Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kawasan Rehat dan Rawat Simpang Pulai di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, yang terbunuh dalam kejadian jam 4 pagi itu dikenali sebagai Sardhol Singh a/l Jawinder Singh, 28, yang berasal dari Taman Seri Rapat, Ipoh.

"Dia meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemuda itu dirempuh oleh pacuan empat roda yang sedang menghala arah Kuala Lumpur, dan pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, dalam berdasarkan laporan pemandu kenderaan itu kejadian berlaku semasa keadaan jalan gelap, dan pemandu itu hanya menyedari yang kenderaannya terlanggar sesuatu apabila terdengar dentuman kuat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis trafik Ipoh mengeluarkan 84 saman kerana pelbagai kesalahan ke atas pemandu dan penunggang motosikal dalam Ops Samseng dari tengah malam tadi hingga 5 pagi ini.
Rodzi berkata, operasi di Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Silibin itu membabitkan lebih 50 anggota polis dan RELA.

Antara kesalahan yang dikesan ialah memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh, melanggar isyarat lampu merah, tidak meletakan pelekat "P", tidak mempunyai lesen, mengubah suai kenderaan serta nombor pendaftaran dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Rodzi berkata, polis turut merampas 31 buah motosikal serta menahan penunggang berumur antara 15 dan 30 tahun untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis.-Bernama

Lelaki maut dilanggar pacuan empat roda



31/10/2010 2:35pm

IPOH - Seorang lelaki terbunuh selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda semasa dia menyeberang Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kawasan Rehat dan Rawat Simpang Pulai di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Trafik Ipoh, DSP Mohd. Rodzi Rejab berkata, yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu dikenali sebagai Sardhol Singh a/l Jawinder Singh, 28, yang berasal dari Taman Seri Rapat, Ipoh.
"Dia meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pemuda itu dirempuh oleh pacuan empat roda yang sedang menghala arah Kuala Lumpur, dan pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama

Khidmat kecemasan udara diperkenal




TIONG LAI menziarahi Muhammad Fais Nasarudin, 18, salah seorang mangsa kemalangan bas membabitkan rombongan Belia 4B dari Kedah di Hospital Selayang, Selangor semalam.


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan perkhidmatan kecemasan udara di Semenanjung bagi memastikan usaha menyelamat, khususnya membabitkan kemalangan dapat dilakukan dengan cepat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkhidmatan ambulans sering kali terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan tidak dapat tiba di tempat kejadian dengan cepat.
"Kita memerlukan perkhidmatan kecemasan pada kadar segera apabila berlaku kemalangan... sebelum ini di Seremban, kita dapati kesesakan lalu lintas terlalu serius, ada ambulans yang tidak dapat sampai ke tempat kejadian," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Pemandu bas minta maaf kepada keluarga mangsa



KUALA LUMPUR -- Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 38 Genting Sempah yang meragut tujuh nyawa Jumaat lepas, hari ini memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak, terutama keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas itu.

Menyesali dan mengakui kesilapannya, pemandu bas berusia 36 tahun itu mendakwa kemalangan ngeri itu berpunca daripada brek bas yang rosak.

"Saya minta maaf kerana saya dah buat kesalahan, tapi saya tak boleh buat apa-apa kerana brek bas tak ada," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Dia yang patah kaki kanan akibat kemalangan itu, kini ditahan reman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Suspek mendakwa selepas itu dia cuba menarik brek tangan, namun ia juga gagal berfungsi.

"Gear pun tak boleh masuk kerana paip sudah pecah waktu itu," katanya.

Lelaki itu juga mendakwa dia memang memiliki lesen memandu, tetapi telah digantung oleh Jabatan Pengangkutan Jalan yang mendapati dokumen itu tidak sah atau lesen terbang, dan ini menyebabkan dia tidak boleh memperbaharuinya.

"Saya bawa bas pun kerana terpaksa, anak tiga orang masih belajar, isteripun tak kerja, malah rumahpun kena bayar jugak, oleh sebab itu, terpaksa kerja sini," katanya.

Suspek turut mendakwa syarikat bas berkenaan mengetahui bahawa dia tidak memiliki lesen memandu, namun tetap memintanya membawa bas berkenaan.

"Mereka (syarikat) paksa saya dengan mengatakan bahawa driver bas tak ada, jadi perlukan bantuan saya, tolonglah...tolong..., driver bas tak ada, you datang Genting sini (bawa bas)," katanya.

Dalam kejadian 7.50 malam itu, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, terbabit dalam kemalangan ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands. -- BERNAMA

Laungan ‘Allahu Akbar’ bergema sewaktu kemalangan




SELAYANG – Laungan ‘Allahu Akbar’ bergema sejurus bas yang membawa 44 penumpang hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan, sebelum terbalik di Kilometer 38, Genting Sempah, malam kelmarin. 

Mohd Shukri Alias, 22, berkata, keadaan di dalam bas bertukar riuh dan panik ketika bas hilang kawalan, dipercayai berpunca daripada brek yang gagal berfungsi. 

“Kebanyakan penumpang menjerit Allahu Akbar kerana berasakan sesuatu yang buruk bakal terjadi. 

“Semua itu berlaku dalam sekelip mata dan bas terus terbalik di laluan bertentangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang, di sini, semalam. 

Dia yang hanya cedera ringan berjaya merangkak keluar dari bas. 

“Saya keluar melalui lubang dan selepas itu, saya turut membantu rakan-rakan yang cedera,” katanya. 

Mohd Shukri mendakwa, sebelum perjalanan ke Genting Highlands, bas tersebut dilihat berada dalam keadaan tidak baik. 

“Bunyi gear kedengaran sewaktu bergerak dan air pendingin hawa menitis di beberapa kerusi bas,” katanya. 

Sementara itu, Ahmad Zaid Azimi, 15, berkata, dia bersyukur kerana hanya cedera ringan.

Adik hampir kena tembak



BAKAR ARANG - “Adik saya hampir kena tembak selepas dijumpai berdua-duaan dengan pasangannya,” dakwa seorang peniaga pisang goreng, Zurin Hassan, 36. 

Zurin berkata, Mohd Nafirdaus, 24, seorang mekanik, ditemui anggota polis peronda bersama kekasihnya di dalam sebuah kereta di hadapan kedai perabot di Bukit Makmur, Sungai Lalang, jam 11.30 malam 5 Oktober lalu. 

Menurutnya, terkejut dengan kehadiran kereta peronda polis, Mohd Nafirdaus, yang tidak ada lesen memandu, terus menghidupkan enjin kereta Proton Satria miliknya dan memecut laju meninggalkan kawasan itu. 

“Kereta polis peronda mengejar mereka hingga ke rumah saya di Bandar Amanjaya. Saya berada di rumah dan terkejut mendengar bunyi bising di luar. Saya pun keluar meninjau dan mendapati seorang anggota polis peronda mengacukan pistol ke kepala adik saya. 

“Apabila ditanya mengapa, polis itu berkata, adik saya ditemui dalam keadaan berbogel di dalam keretanya bersama pasangan. Mereka kemudian membawanya ke Balai Polis Bedong untuk membuat laporan,” katanya pada sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, Taman Intan, di sini, kelmarin. 

Zurin berkata, dia pergi ke Balai Polis Bedong dan apabila sampai di balai itu, dia dimaklumkan, laporan sudah selesai dibuat dan dia boleh membawa Mohd Nafirdaus dan kekasihnya pulang. 

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati kereta yang dipandu adiknya itu rosak teruk dan cermin kereta pecah. 

“Apabila ditanya, seorang anggota polis berkata, cermin belakang kereta adik saya pecah sebab terkena kayu, tetapi adik saya berkata, semasa kereta peronda polis itu mengejarnya dari Bukit Makmur, Sungai Lalang hingga ke rumah saya di Amanjaya, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah keretanya. 

Mohd Nafirdaus yang ditemui media di rumahnya berkata, dia masih dalam keadaan trauma akibat kejadian itu. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan insiden itu melibatkan anggota polis peronda dari salah sebuah balai di Kuala Muda. 

Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api.

Pasaraya di Wangsa Maju rugi RM2 juta dalam kebakaran awal pagi



KUALA LUMPUR -- Sebuah pasaraya di Wangsa Maju di sini dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM2 juta selepas sebahagian besar premis itu musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Selain itu, barangan jualan basah dan kering pasaraya tersebut turut musnah. Pegawai Operasi 2 Balai Bomba dan Penyelamat Setapak Kusin Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.01 pagi mengenai kejadian itu dan sejumlah lima jentera dari Setapak, Wangsa Maju, Jelatek, Hang Tuah dan Gombak Selatan dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setiba di tempat kejadian, api telah memusnahkan separuh daripada pasaraya tersebut, dan 40 minit kemudian, api dapat dikawal dari terus merebak sehingga ke belakang," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat. -- BERNAMA

Nafsu terbantut



PETALING JAYA – Demi nafsu, seorang pemandu lori sanggup menempuh perjalanan yang jauh dari Gerik Perak, semata-mata mahu memadu asrama bersama kekasih tercinta yang juga seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Shah Alam. 

Walau bagaimanapun, hasrat itu terbantut apabila bilik hotel mereka diserbu sepasukan pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di PJS 8, semalam. 

Terdahulu penguat kuasa terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum pasangan terbabit membuka pintu. 

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua pasangan terbabit tidak mempunyai ikatan yang sah dan dikenakan tindakan kerana disyaki berkhalwat. 

Ketika disoal siasat gadis berkenaan memberi alasan mahu berehat selepas sehari suntuk berjalan sebelum dihantar pulang oleh kekasihnya. 

Ketua Unit Tindakan Khas Jais Mohd Haffizi Mohd Roslan berkata, kedua-dua pasangan ditahan untuk siasatan lanjut. 

Menurutnya pasangan itu akan menjalani tempoh jaminan dan ibu bapa mereka akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan. 

“Mereka akan dikenakan tindakan di bawah seksyen 29 (1) Enakmen jenayah syariah Selangor 9/95 kerana berdua-duaan tanpa ikatan sah. 

Dalam serbuan lain di lokasi yang sama tiga lelaki dan enam wanita Islam berusia awal 20-an ditahan ketika bersukaria di sebuah kelab malam. 

“Ketiga-tiga lelaki dikenakan kerana didapati minum minuman keras manakala wanita dikenakan tindakan kerana berpakaian tidak senonoh dan menjolok mata. 

Katanya, kedua-dua wanita terbabit ditahan untuk diambil butiran diri dan akan dipanggil semula untuk sesi kaunseling yang dikendalikan oleh pihak Jais. 

Tindakan diambil di bawah Seksyen 18 dan Sekysen 10 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM 3000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Komplot baru al-Qaeda?



PASUKAN penyiasat masuk ke dalam pesawat United Parcel Service yang diasingkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia, kelmarin. – AP


WASHINGTON 30 Okt. – Pihak berkuasa di tiga benua berjaya melumpuhkan beberapa ancaman serangan keganasan yang disasarkan ke atas Amerika Syarikat (AS) dari Yemen, dengan merampas dua bungkusan bahan letupan di dalam pesawat kargo semalam, yang dialamatkan ditujukan kepada rumah-rumah ibadat Yahudi di Chicago.
Komplot tersebut turut mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia bahawa al-Qaeda mungkin melancarkan satu kempen keganasan baru secara besar-besaran.
Presiden Barack Obama menyifatkan serangan terancang itu sebagai ‘ancaman pengganas yang boleh dipercayai’ dan pegawai AS berkata, pihaknya optimis cawangan al-Qaeda di Yemen, yang sebelum ini pernah merancang pengeboman ke atas pesawat di Detroit pada 25 Disember tahun lalu tetapi gagal, turut bertanggungjawab atas ancaman keselamatan terbaru ini.
“Pemeriksaan awal menunjukkan bungkusan-bungkusan tersebut mengandungi bahan letupan,” kata Obama pada satu sidang media di White House.
Timbalan Penasihat Keselamatan Negara dan Antikeganasan Kebangsaan, John Brennan dalam pada itu berkata, sebahagian daripada komplot tersebut masih belum dapat dikesan.
“AS menjangka serangan itu masih belum berakhir sepenuhnya, jadi kami masih berjaga-jaga,” katanya.
Satu daripada bungkusan mengandungi bahan letupan tersebut ditemui di dalam sebuah pesawat kargo di Dubai, sementara satu lagi dijumpai di England.
Penemuan itu dibuat berdasarkan hasil risikan Arab Saudi sebelum dimaklumkan kepada AS.
Ujian awal menunjukkan, bungkusan berkenaan mengandungi bahan letupan industri berkuasa tinggi, ‘PETN’ atau pentae ritritol, sejenis bahan kimia yang digunakan dalam serangan pada 25 Disember lalu.
Di bahagian pantai timur AS, pesawat-pesawat kargo digeledah, sementara sebuah pesawat penumpang Emirates Airlines diiringi jet-jet pejuang tentera semasa mendarat di New York, bagaimanapun, tiada bahan letupan ditemui di dalam pesawat-pesawat terbabit.
Sementara Obama secara terus tidak menuduh ia mungkin ancaman yang dilakukan al-Qaeda di Yemen, Brennan menyifatkan ia satu komplot paling aktif dan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan kumpulan tersebut, perlu diawasi.
– AP

430 rakyat Korea bertemu semula



SEOUL 30 Okt. - Lebih 430 rakyat Korea Selatan merentasi sempadan masuk Korea Utara hari ini untuk bertemu semula dengan sanak-saudara yang terpisah akibat Perang Korea, sehari selepas askar kedua-dua negara berbalas tembakan di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara.
Rakyat Korea Selatan yang kebanyakannya berusia 80-an bertemu dengan saudara-mara lama mereka di pusat peranginan Mount Kumgang, Korea Utara selama tiga haril, kata Palang Merah Korea Selatan.
Pertemuan semula itu penuh emosi bagi penduduk semenanjung Korea kerana kebanyakan peserta adalah warga emas yang rindu untuk bertemu empat mata atau melalui sidang video dengan sanak-saudara yang terpisah. - AP

Korban banjir Thai cecah 100



PENDUDUK terpaksa menggunakan sampan di wilayah Ayutthaya yang terletak di sebelah utara Bangkok, semalam. - AFP


BANGKOK 30 Okt. - Angka korban akibat banjir besar di Thailand mencecah 100 hari ini, selepas enam lagi mayat termasuk tiga rakyat asing ditemui, walaupun banjir dilapor telah surut di beberapa kawasan.
Institut Perubatan Kecemasan Thailand dalam laporan terkininya menyatakan, antara mangsa yang ditemui mati hari ini ialah rakyat Belanda, Harald Vusser, 38, yang maut akibat renjatan elektrik atau lemas di wilayah Ayutthaya, utara Bangkok, semalam.
Media tempatan melaporkan, kejadian berlaku ketika Vusser sedang membantu isterinya, seorang rakyat Thai, mengalihkan barang-barang mereka ke tempat yang kering.
Seorang lagi rakyat asing yang dikenal pasti mati ialah wanita Kemboja berusia 44 tahun yang terkorban dalam satu kejadian runtuhan lumpur awal bulan ini di pulau Koh Chang di wilayah Trat dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang lemas di Phathum Thani.
Pihak berkuasa memberitahu, ketika 22 daripada 76 wilayah di Thailand masih dilanda banjir, air dilapor telah surut di 16 wilayah lain.
Pihak berkuasa menganggarkan, kira-kira lima juta penduduk terjejas akibat banjir terutamanya di bahagian tengah dan timur negara, dengan rumah-rumah ditenggelami air, tanah pertanian rosak dan ternakan mati.
Berpuluh-puluh ribu mangsa banjir yang terselamat juga dilapor terpaksa mendapatkan rawatan perubatan akibat gatal-gatal kulit, demam selesema dan tertekan. - AFP

'Tak lalu makan kenangkan anak'



Laporan dari Kepulauan Mentawai oleh Suhana Roslan

2010/10/31

MELDA yang mengalami kecederaan   ditemani ibunya, Warna ketika   mendapatkan rawatan di  Hospital Sikakap, Pulau Muntei, semalam.
MELDA yang mengalami kecederaan ditemani ibunya, Warna ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sikakap, Pulau Muntei, semalam.
Mangsa tsunami sedih hilang suami, 5 zuriat 

KEPULAUAN MENTAWAI: "Saya cuma berharap anak perempuan saya pulih seperti sedia kala," kata Warna, 39, seorang mangsa bencana tsunami di Pulau Muntei di sini, yang bersedih apabila suami dan lima anak lelakinya terkorban dalam kejadian itu, malam Isnin lalu.
Lebih menyedihkan anak perempuannya, Melda Yanti, 10, atau Melda ditemui tidak sedarkan diri sehingga semalam dan dipindahkan ke Hospital Padang bagi mendapatkan rawatan susulan tulang pinggangnya patah dipercayai dihempap pokok ketika dihanyutkan arus ombak tsunami 13 meter.
Dalam kejadian jam 11 malam itu (waktu tempatan), Warna bersama suami dan tujuh anaknya sedang tidur di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi gegaran kuat disusuli air besar seolah-olah sedang mengejarnya. 

“Saya hanya mampu berlari untuk menyelamatkan diri dan terpaksa memanjat bukit. Kejadian itu sangat menakutkan dan berlaku dalam tempoh kurang tiga minit. Apabila air surut saya turun bukit dan mencari keluarga. 

“Saya teruskan pencarian dan menemui Melda dalam keadaan tidak sedarkan diri di tebing sungai. Saya tidak berdaya mengangkatnya malah takut menyentuhnya bimbang tulang pinggang akan lebih teruk,” katanya ketika ditemui di Hospital Sikakap di sini, semalam. 

Warna berkata, sambil menangis mengendong Melda, beliau terus berusaha mencari suami dan lima anak lelakinya yang masih belum ditemui sehingga semalam. 
Warna yang bekerja sebagai petani itu juga kelihatan sangat muram dan hanya memandang Melda tanpa menghiraukan nasi yang dihidangkan sukarelawan dalam misi kemanusiaan. 

Melda bersama beberapa lagi mangsa tsunami akan dibawa ke Hospital Padang menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan susulan sejak berada di hospital serba daif itu Rabu lalu. 

Hanya seorang doktor wanita kelihatan bertugas bagi merawat pesakit yang mengalami kecederaan teruk dibantu sukarelawan termasuk Majlis Mujahiddin Indonesia (MMI) dan badan bukan kerajaan lain. 

Dalam kejadian gempa bumi berskala richter 7.2 malam Isnin lalu, dua kampung di kepulauan itu musnah iaitu Pulau Muntei dan Maonai. Kebanyakan penduduk berbangsa Minang sedang tidur ketika kejadian berlaku mengambil keputusan menyelamatkan diri dalam gereja. 

Bagaimanapun, gereja itu turut hancur dan menyebabkan lebih 200 mangsa tertimbus dalam runtuhan bangunan berkenaan. 

Sehingga petang semalam lebih 500 mayat ditemui di Pagai Selatan iaitu antara kawasan yang mengalami kematian tertinggi disebabkan bencana alam itu. Hanya bot kecil saja boleh menyusuri pantai itu yang mengambil masa selama tiga jam perjalanan dari Pulau Sikakap. Sejak kejadian itu, cuaca di kepulauan Mentawai sering dilanda hujan berangin dan penduduk diingatkan supaya lebih berwaspada. 

Dalam perkembangan lain, misi bantuan kemanusiaan selamat tiba di Pulau Sikakap di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari (waktu tempatan) semalam dan rata-rata menyambut kedatangan sukarelawan dan petugas media dengan baik.

27 wanita, 3 lelaki Filipina ditahan





2010/10/31

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen negeri menahan 27 wanita dan tiga lelaki warga Filipina kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di negara ini tanpa dokumen sah dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Permas Jaya di sini, awal pagi semalam. 

Dalam operasi yang dikenali sebagai Ops Sayang bermula jam 1 hingga 3 pagi itu, semua warga Filipina berusia dalam lingkungan 21 hingga 39 tahun ditahan hasil maklumat awam dan risikan.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan negeri, Masri Adul, berkata wanita Filipina berkenaan dipercayai bekerja sebagai teman sosial menghiburkan pelanggan yang berkunjung di premis terbabit.
“Siasatan awal mendapati mereka memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial namun menyalahgunakannya dengan bekerja. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui tujuan sebenar mereka datang ke negara ini. 

“Status mereka datang ke negara ini sebagai pelancong juga diragui apabila rekod perjalanan pada pasport menunjukkan semua yang terbabit sering berulang alik dari negara ini ke Singapura dan tidak pulang ke negara asal,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi, semalam. 

Difahamkan, ketika serbuan dilakukan, dua pelancong Eropah dikatakan bertindak agresif cuba menghalang pihak berkuasa daripada melakukan operasi terbabit. 

Pelancong berkenaan dikatakan dalam keadaan mabuk bertindak memaki dan mencaci sepasukan anggota serta pegawai imigresen berikutan berang apabila wanita teman semeja mereka ditahan.

'Warden tekap seterika panas kejutkan pelajar'



Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2010/10/31

 MUHAMMAD AL- HAKIM   (kanan) menunjukkan kesan parut pada lengan kiri adiknya, Muhammad Fairuz, yang diseterika oleh warden asrama di sebuah sekolah di Pasir Mas ketika ditemui   
di rumah mereka di Kampung Anak Keranji, Pasir Mas, semalam.
MUHAMMAD AL- HAKIM (kanan) menunjukkan kesan parut pada lengan kiri adiknya, Muhammad Fairuz, yang diseterika oleh warden asrama di sebuah sekolah di Pasir Mas ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Anak Keranji, Pasir Mas, semalam.
2 beradik, 9 lagi penghuni asrama melecur 

PASIR MAS: Dua beradik melecur teruk pada tapak kaki dan lengan kiri akibat ditekap dengan seterika yang didakwa dilakukan seorang warden asrama yang mahu mengejutkan mereka dari tidur, dalam kejadian pada 12 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Al Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, terpaksa diberi rawatan di Hospital Lati, dekat sini, akibat kecederaan yang dialami.
Ibu mangsa, Siti Fatimah Mat Yusof, 52, berkata, kejadian berlaku di asrama kedua-dua anaknya di mana warden terbabit didakwa menekap seterika panas pada tubuh mereka untuk mengejutkan Muhammad Al Hakim dan Muhammad Fairuz dari tidur. 

“Saya hanya menyedari kejadian itu pada jam 7 malam hari sama apabila rakan Muhammad Fairuz membawa anak saya pulang ke rumah. Saya terkejut apabila diberitahu tindakan warden terbabit.. 

“Saya tidak menyangka kedua-dua anak saya cedera akibat melecur. Sebelum Muhammad Fairuz pulang, abangnya, Muhammad Al Hakim pulang lebih awal dan tidak memberitahu saya apa-apa mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. 

Siti Fatimah berkata, beliau yang terkejut dengan kejadian itu segera membawa kedua-dua anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Lati, di sini serta membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Mas, keesokan harinya. 
“Selain kedua-dua anak saya, sembilan lagi pelajar yang tinggal di asrama terbabit dikatakan turut menerima nasib yang sama. Namun, mereka mengambil sikap berdiam diri mengenai kejadian menimpa mereka,” katanya. 

Beliau berkata, anaknya memberitahu, warden terbabit tidak menggunakan kaedah lazim untuk mengejutkan pelajar di asrama terbabit, sebaliknya meng-gunakan caranya tersendiri seperti menekap tubuh pelajar dengan seterika panas. 

“Saya juga diberitahu warden terbabit menggunakan peralatan lain untuk mengejutkan pelajar dari tidur seperti penyapu dan air sabun. 

“Sebelum ini, saya sudah tahu sikap buruk warden terbabit, namun tiada siapa yang mengambil tindakan terhadapnya. Kali ini, keadaan sudah melampau sehingga menyebabkan pelajar cedera parah,” katanya. 

Siti Fatimah berkata, beliau hairan mengapa pengurusan sekolah seolah-olah berdiam dengan perbuatan yang dilakukan warden terbabit. 

“Saya pernah berbincang dengan pihak sekolah terbabit, namun diarahkan untuk menarik sebarang laporan yang dibuat. Anak saya tidak mahu bercakap lagi mengenai kejadian itu akibat trauma,” katanya sambil menambah kedua-dua anaknya kini tidak lagi menetap di asrama terbabit.

Dua calon SPM maut nahas





2010/10/31

BALING: Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut apabila motosikal mereka bertembung sebuah kereta di Kilometer 39.2 Jalan Sungai Petani-Baling dekat sini jam 5.45 pagi semalam. 

G Thamotharan, 17, dan rakannya S Dhinesh Baboo, 17, dari Taman Ria Jaya, Sungai Petani yang menaiki sebuah motosikal dalam perjalanan pulang dari Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Lenggong bersama rakan lain yang menaiki dua lagi motosikal sebelum dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung kereta Perodua MyVi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Mat Daud Mat Hasan, berkata mangsa parah di kepala dan badan mati di tempat kejadian dan dihantar Hospital Baling, tetapi pemandu MyVi dalam perjalanan dari Butterworth ke Kampung Ketemba tidak cedera manakala dua penumpang hanya cedera ringan.
Sementara itu di IPOH, seorang wanita berusia 29 tahun maut manakala suaminya parah apabila kereta mereka terbabas di Kilometer (km) 332 Lebuh Raya Utara-Selatan di Tapah, 60 km dari sini dalam kemalangan jam 4.37 petang semalam. 

Ketua Polis Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata Hong Ying Yin berasal dari Kuala Lumpur, terbunuh di tempat kejadian selepas Toyota Vios dinaikinya bersama suami, Chan Sau Yan, 32, gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan.

Lelaki cuba pujuk isteri jatuh kondo



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/10/31

Pasangan didakwa sering bertengkar 

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki memanjat balkoni di tingkat 36 sebuah kondominium untuk memujuk isterinya yang mengurung diri dalam sebuah bilik membawa maut apabila dia terjatuh di Brickfields, di sini jam 8 pagi semalam.
Mangsa berusia 30-an warga Indonesia mati di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata mangsa memanjat balkoni itu dikatakan tergelincir sebelum terjatuh dan dia juga mengalami masalah rumah tangga kerana sering bertengkar hingga isterinya mengurung diri sejak beberapa hari lalu. 

“Ketika kejadian, isteri mangsa mengurung diri dalam bilik utama dan enggan bertemu suaminya walaupun mangsa beberapa kali memujuk supaya membuka pintu. Akibatnya mangsa keluar melalui balkoni kediaman itu untuk memanjat masuk ke bilik berkenaan melalui tingkap sebelum tergelincir dan terjatuh,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Budak empat tahun dibenar kena saman





2010/10/31

NEW YORK: Mahkamah di sini memutuskan seorang kanak-kanak perempuan empat tahun, yang dituduh merempuh seorang wanita tua berusia 87 tahun menggunakan basikalnya di kawasan pejalan kaki di Manhattan, boleh disaman atas alasan cuai. 

Insiden itu berlaku pada April 2009, apabila mangsa, Claire Menagh dilanggar oleh dua kanak-kanak berusia empat tahun yang menunggang basikal dikenali sebagai Juliet Breitman dan Jacob Kohn yang jelas berlumba menggunakan basikal mereka di kawasan pejalan kaki East Side.
Menurut satu aduan, ibu kanak-kanak itu Dana Breitman dan Rachel Kohn berada bersama anak masing-masing ketika insiden dan mangsa cedera parah akibat terjatuh selepas dilanggar. Malah, laporan menyatakan wanita itu mengalami patah tulang peha dan menjalani pembedahan. Pihak berkuasa berkata Menagh meninggal dunia tiga minggu kemudian.
Keputusan itu, dibuat secara rasmi oleh Hakim Mahkamah Tinggi Daerah King, Paul Wooten Khamis lalu, mencetuskan perpecahan besar-besaran di kejiranan itu. 
Pihak Menagh dan kemudian anak lelakinya menyaman kedua-dua kanak-kanak terbabit dan ibu mereka kerana ‘kecuaian ketika mengendali dan mengawal basikal.’ 

Bagaimanapun, peguam Breitman, James Tyrie, mempertikai bahawa usia empat tahun terlalu muda untuk bertanggungjawab, memetik hakikat bahawa mahkamah pernah menyatakan pada masa lalu bahawa kanak-kanak di bawah usia empat tahun ‘tidak berupaya melakukan kecuaian.’ – Agensi

Minah rempit ditampar kakak ketika ditahan di IPK



PULAU PINANG 30 Okt. - Berang dengan sikap adiknya yang tidak serik-serik ponteng sekolah dan menyertai kumpulan mat rempit, seorang wanita dalam lingkungan 20-an menampar tujuh kali remaja perempuan berusia 16 tahun itu ketika dalam tahanan polis.
Kejadian berlaku ketika dia datang dengan ibunya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pukul 10.15 pagi ini dan dikatakan tiba-tiba hilang sabar sejurus melihat adiknya itu bersama remaja lain ditahan polis.
Sebelum ini, remaja terbabit juga pernah beberapa kali ditahan polis atas kesalahan sama.
Anggota-anggota polis yang berada di situ kemudian menenangkan wanita tersebut dan memintanya menyelesaikan masalah itu di rumah.
Remaja perempuan berkenaan merupakan sebahagian daripada 122 orang samseng jalanan yang ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi bermula tengah malam dan berakhir awal pagi tadi.
Operasi berkenaan melibatkan seramai 85 pegawai dan anggota dari Cawangan Trafik IPK Pulau Pinang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Narkotik.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Wan Aziz Wan Hussain berkata, kesemua yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan menunggang secara berbahaya.
"Remaja terbabit boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Warden kejut pelajar dengan seterika panas



SITI Fatimah Yusof menunjukkan kesan seterika di lengan Muhammad Fairus di rumahnya di Kampung Anak Keranji, Pasir Mas, semalam.


PASIR MAS 30 Okt. - Niatnya memang baik, mahu pelajarnya bangun awal pagi dan solat subuh.
Namun tindakan menekapkan seterika panas untuk mengejutkan mereka ketika tidur merupakan sesuatu yang keterlaluan, apatah lagi dilakukan oleh seorang pendidik sepertinya.
Akibatnya, pelajar yang terkena seterika panas itu melecur dan mengalami kesakitan berpanjangan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi 12 Oktober lalu, Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, bersama 12 rakan mereka tidur di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu di sini.
Kedua-dua mereka melecur di kaki dan lengan selepas guru terbabit yang juga warden asrama menggunakan seterika untuk mengejutkan mereka berdua termasuk sembilan pelajar lain.
Menurut Muhammad Al-Hakim, guru itu berbuat demikian kerana mereka tidur terlalu nyenyak dan tidak bangun seperti biasa untuk solat subuh.
"Selalunya kami bangun pukul 6 pagi untuk solat subuh tetapi pada hari itu, sebahagian besar pelajar di bilik itu tidur nyenyak.
"Saya terkejut jaga apabila terasa panas pada bahagian kaki dan sebaik sedar, nampak dengan jelas cikgu berdiri sambil memegang seterika panas.
"Pada masa itu dalam bilik kami ada 14 pelajar tetapi tiga daripada kami telah bangun lebih awal dan mereka terselamat," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Ridzuan sempat SMS ibu sebelum terbunuh



BALING 30 Okt. – Seorang bapa dapat merasakan ‘sesuatu’ telah menimpa anaknya apabila remaja itu tidak menghubungi isterinya walaupun berjanji untuk berbuat demikian selepas selesai solat Maghrib.
Menurut Hussin Hamid, 54, anaknya, Ridzuan, 17, berhubung dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isterinya, Jamilah Che Man, 52, sebelum kejadian.
“Dia janji pada ibunya untuk menghubungi menerusi telefon tetapi kami tunggu-tunggu tiada panggilan daripadanya. Ibunya lalu menelefon Ridzuan tetapi tidak berjawab,” katanya.
Beliau berkata, Ridzuan merupakan anak yang pendiam dan bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong itu antara 43 anggota rombongan Belia 4B kampung tersebut yang melawat Genting Highlands.
Sementara itu, Amirul pula berkelakuan pelik sebelum menyertai rombongan tersebut apabila memberitahu neneknya, Siti Salmiah Mahmud, 60, bahawa dia enggan ke sekolah sampai bila-bila.
Kata-kata pelajar tingkatan satu SMK Siong tersebut diucapkan ketika Siti Salmiah memberikannya wang RM50 untuk belanja sebelum bertolak ke Genting Highlands, pukul 11.30 malam sebelum itu.
Menurut Siti Salmiah, kedua-dua ibu bapa Amirul, Md. Isa Zakaria, 42, dan ibunya, Nor Hafisah Badri, 38, adalah Orang Kurang Upaya (OKU) kerana bisu.
Katanya, selepas mengetahui kemalangan menimpa anaknya itu, Nor Hafisah enggan menjamah sebarang makanan kerana terlalu sedih.
Ibu Fahmi pula, Siti Zainab Abdullah, 58, berkata, dia reda di atas pemergian anaknya itu tetapi bersyukur seorang lagi anaknya, Mohd. Akram, 16, yang turut menyertai rombongan itu terselamat.

Ridzuan sempat SMS ibu sebelum terbunuh



BALING 30 Okt. – Seorang bapa dapat merasakan ‘sesuatu’ telah menimpa anaknya apabila remaja itu tidak menghubungi isterinya walaupun berjanji untuk berbuat demikian selepas selesai solat Maghrib.
Menurut Hussin Hamid, 54, anaknya, Ridzuan, 17, berhubung dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isterinya, Jamilah Che Man, 52, sebelum kejadian.
“Dia janji pada ibunya untuk menghubungi menerusi telefon tetapi kami tunggu-tunggu tiada panggilan daripadanya. Ibunya lalu menelefon Ridzuan tetapi tidak berjawab,” katanya.
Beliau berkata, Ridzuan merupakan anak yang pendiam dan bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong itu antara 43 anggota rombongan Belia 4B kampung tersebut yang melawat Genting Highlands.
Sementara itu, Amirul pula berkelakuan pelik sebelum menyertai rombongan tersebut apabila memberitahu neneknya, Siti Salmiah Mahmud, 60, bahawa dia enggan ke sekolah sampai bila-bila.
Kata-kata pelajar tingkatan satu SMK Siong tersebut diucapkan ketika Siti Salmiah memberikannya wang RM50 untuk belanja sebelum bertolak ke Genting Highlands, pukul 11.30 malam sebelum itu.
Menurut Siti Salmiah, kedua-dua ibu bapa Amirul, Md. Isa Zakaria, 42, dan ibunya, Nor Hafisah Badri, 38, adalah Orang Kurang Upaya (OKU) kerana bisu.
Katanya, selepas mengetahui kemalangan menimpa anaknya itu, Nor Hafisah enggan menjamah sebarang makanan kerana terlalu sedih.
Ibu Fahmi pula, Siti Zainab Abdullah, 58, berkata, dia reda di atas pemergian anaknya itu tetapi bersyukur seorang lagi anaknya, Mohd. Akram, 16, yang turut menyertai rombongan itu terselamat.

Mangsa nampak adik terpelanting keluar tingkap



KUALA LUMPUR 30 Okt. – Mangsa kemalangan bas persiaran di Kilometer 38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, menyaksikan sendiri adiknya terpelanting keluar dari tingkap kenderaan itu sebelum ditemui mati di dalam longkang.
Mohammad Akram Abdul Mustaffa, 19, berkata, ketika kejadian dia berada di bahagian tengah bas manakala adiknya, Mohammad Fahimi, 15, di tempat duduk hadapan.
Mohammad Akram yang menceritakan detik cemas tersebut berkata, sejurus selepas itu, dia juga turut tercampak keluar dari dalam bas berkenaan.
Tambahnya, semasa kejadian, bas itu dalam keadaan laju dipercayai akibat hilang kawalan.
“Saya nampak Muhd. Fahimi terpelanting keluar ikut tingkap disusuli jeritan penumpang Allahuakbar berulang kali sebelum saya pula tercampak.
“Dalam keadaan cemas dan kesakitan itu, salah seorang rakan meminta saya pergi melihat Fahimi. Luluh hati apabila melihat adik saya dalam keadaan tidak bernyawa dengan kulit kepalanya terkoyak,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, ibu Mohd. Ajril Azizi Azhari, 16, pula tidak percaya apabila anak tunggalnya tersebut menghubunginya dan memaklumkan sedang tersepit kerana terlibat dalam kemalangan.
Haizam Hassan, 37, berkata, dia mendapat panggilan daripada Mohd. Ajril sejurus selesai menunaikan solat Maghrib.
“Mohd. Ajril Azizi menyatakan sedang tersepit bas. Saya ketawa kecil dan menjawab, abang jangan main-main sebelum talian tiba-tiba terputus.
“Selepas membuat tambah nilai kredit telefon, saya hubungi semula Ajril namun dia tidak jawab dan selepas itu barulah berasa tidak sedap hati,” katanya.
Katanya lagi, dia mendapat tahu kemalangan tersebut apabila dihubungi keluarganya tidak lama selepas itu.
Menurutnya, Mohd. Ajril menerima 15 jahitan di kepala, melecur sebahagian kanan anggota badannya selain kemungkinan patah jari-jari tangan kirinya.
Sementara itu, Mohd. Hafifi Yahya, 19, yang turut cedera dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama memberitahu, dia mendengar jeritan pemandu ‘brek tidak makan’ sebelum kemalangan.
“Sebahagian penumpang yang berada di bahagian hadapan lari ke belakang menyebabkan semua terhimpit.
“Dalam keadaan kelam kabut, saya dengar Ustaz Zaidi bertanya sama ada kami semua dalam keadaan baik. Namun sejurus selepas itu, saya pengsan,” katanya.
Tambahnya, dia tersedar semula apabila merasa ada orang lain menarik badannya yang dihimpit bas.
Dalam kejadian pukul 7.50 petang itu, sebuah bas persiaran yang dinaiki 44 penumpang Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Kedah terbabit dalam kemalangan semasa menuruni Genting Highlands di Kilometer 38, Genting Sempah dekat sini.
Bas berkenaan terbabas dan terbalik di laluan bertentangan serta mengakibatkan tujuh maut, 16 parah dan 21 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas tersebut.
Rombongan itu telah bertolak ke Kuala Lumpur dari Genting Highlands untuk ke Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menyertai program Inap Desa dan dijangka pulang ke Baling, Kedah, petang ini.

Dua pelajar maut motosikal bertembung kereta



BALING 30 Okt. - Kegembiraan dua sahabat bercuti di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 39.2 Jalan Tawar Kuala Pegang, dekat Kampung Ketemba, hari ini.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu ialah S. Dhanesh Baloo, 16, dan rakannya, G. Thamotharan, 16.
Kemalangan berlaku apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang dari pusat rekreasi itu ke rumah mereka di Taman Ria, Sungai Petani.
Ketua Polis daerah, Supritendan Mat Daud Mat Hassan berkata, kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal itu mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Katanya, pemandu kereta, Shahril Imran Mohd. Noor, 28, dan isterinya, Atifa Nabilah Mohamad, 26, serta dua adiknya masing-masing dalam perjalanan dari Butterworth ke Kampung Ketemba Masjid, Kuala Pegang, yang terletak dua kilometer dari tempat kejadian.
"Pemandu kereta berkenaan mendakwa, ketika sampai di tempat kejadian, dia nampak motosikal mangsa secara tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan dia tidak sempat mengelak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Lori rempuh tiga buah kereta





ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa keluar Lai Fa yang sebelum itu tersepit di dalam lori selepas merempuh tiga kenderaan di Jalan Raja Nazrin Shah, Ipoh, semalam.


IPOH 30 Okt. – Seorang pemandu lori maut manakala enam lagi cedera apabila sebuah lori merempuh tiga buah kereta dalam kemalangan di Jalan Raja Nazrin Shah, Kampung Kepayang berdekatan Taman Seri Raia, Simpang Pulai, malam tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Lai Fa, 63, beralamat di Persiaran Bercham Timur, di sini. Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Dalam pada itu, hanya dua daripada enam mangsa yang cedera dikenal pasti iaitu Nur Azua Abd. Wahab, 23, dan adiknya Khairul Nizam, 19.
Kesemua mereka dihantar ke hospital untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang.
Ketua Trafik daerah, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, kejadian berlaku pukul 8.15 malam apabila lori ikan yang dipandu Lai Fa, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Katanya, lori yang datang dari arah Gopeng menuju ke Ipoh itu merempuh tiga kenderaan di hadapannya.
“Rempuhan itu menyebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah Proton Exora dan sebuah Proton Wira rosak dan remuk.
“Lori tersebut pula terbabas ke tepi jalan dan mengakibatkan pemandunya tersepit dan cedera parah,” katanya.
Menurut beliau, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Simpang Pulai dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.
Kemalangan itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira dua kilometer dari kedua-dua arah.

Britian larang kemasukan pesawat dari Yemen



31/10/2010 2:46am

LONDON 31 Okt. - British bertindak melarang semua pesawat penerbangan dari Yemen yang tidak diiringi dengan ketat berikutan penemuan kiriman bom yang dihantar ke Amerika Syarikat kelmarin, kata Setiausaha negara Theresa May.
Lebih banyak sekatan ke atas rakyat dan kargo dari Yemen akan diumumkan tidak lama lagi. Perkhidmatan penerbangan terus pesawat kargo dan penumpang pernah dihentikan pada bulan Januari selepas serangan ke atas jet Detroit pada perayaan Hari Krismas lalu.
Namun Britian mungkin tidak akan meningkatkan tahap ancaman keganasan meskipun ia agak membimbangkan sekarang. katanya kepada pemberita semalam.
Beliau juga mengesahkan juga turut mengesahkan bahawa peranti yang ditemui di lapangan terbang Midland di timur England Jumaat lepas merupakan salah satu daripada pakej suspek yang boleh diguna untuk meletupkan pesawat. - AP