Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Tersepit 3 jam

PASIR PUTEH: Seorang pemuda terpaksa bertarung nyawa hampir tiga jam sebelum diselamatkan sepasukan anggota penyelamat selepas lori dipandunya terbabas ke parit sedalam satu meter di laluan pintas, Jalan Pasir Puteh-Terengganu, dekat sini, kelmarin.
Pemandu lori membawa muatan ais itu, Raja Haslizan Raja Nordin, 23, dari Kampung Kelawang, Besut, Terengganu dianggap ‘lelaki ajaib’ apabila hanya mengalami calar di badan dan lengan dalam kejadian kira-kira jam 8 malam yang hampir meragut nyawanya.
Rakannya yang juga kelindan lori, Che Mohd Firdaus Che Rosli, 16, pula berjaya melompat keluar sebaik menyedari kenderaan terbabit meluru ke arah parit.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, lori terbabit baru mengisi ketulan ais dari sebuah kilang memproses ais di Padang Pak Amat, dekat sini, dan dalam perjalanan menghantar bekalan itu ke Besut.

Namun, malang buat mereka apabila lori dipandu Raja Haslizan tiba-tiba hilang kawalan apabila tayar kanan belakang pecah menyebabkannya gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas.

Berikutan kejadian itu, Raja Haslizan tersepit di tempat duduk pemandu, manakala keadaan lori berada dalam keadaan menjunam ke longkang.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) dan dibenarkan pulang sebaik menerima rawatan pesakit luar di Unit Kecemasan.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaaharuddin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.30 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, beliau bersama enam anggota dibantu lima anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis terpaksa menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk menyelamatkan mangsa.

“Kami terpaksa mengambil masa kira-kira tiga jam bermula jam 8.30 malam hingga 11.50 malam untuk menyelamatkan mangsa berikutan keadaan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Malah, dua jentera berat terpaksa digunakan bagi mengeluarkan mangsa selain terpaksa membuang beberapa ketulan ais bagi mengurangkan beban lori terbabit,” katanya.
Namun, katanya, pihaknya kesal kerana orang ramai yang berhenti menyaksikan kejadian itu banyak mengganggu kerja menyelamat hingga menyukarkan anggotanya, JPAM dan polis menjalankan tugas.

“Dalam hal ini, orang ramai sepatutnya mendengar arahan dikeluarkan pihak berkuasa kerana nyawa mangsa perlu diselamatkan segera.

“Justeru, saya menasihati orang ramai sentiasa memahami dan mematuhi setiap arahan dikeluarkan termasuk memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment