Search This Blog

Saturday, September 4, 2010

Tentera Mexico bunuh 25 penjenayah




MONTERREY - Seramai 25 suspek daripada kumpulan sindiket dadah ditembak mati tentera Mexico dalam kejadian tembak-menembak berdekatan sempadan Amerika Syarikat (AS), kelmarin. 

Jabatan Pertahanan Mexico melaporkan bahawa sebuah pesawat pengintip tentera mengesan beberapa orang bersenjata di depan sebuah hotel di Ciudad Mier , Tamaulipas. 

Menurut kenyataan itu, 25 ahli kumpulan sindiket dadah itu terbunuh selepas beberapa suspek mula melepaskan tembakan yang menyebabkan kejadian tembak-menembak berlaku. 

Dua pegawai tentera dilaporkan cedera tetapi tiada yang terbunuh dalam kejadian tembak-menembak itu. 

Pihak berkuasa turut merampas 25 senapang, empat bom grenad, 4,200 peluru dan 23 kenderaan serta tiga mangsa berjaya diselamatkan yang dipercayai diculik. 

Terdahulu, seorang penembak menembak seorang calon gabenor seminggu sebelum pilihan raya pada Jun lalu, manakala seorang calon datuk bandar dibunuh di Tamaulipas pada Mei lalu. 

Keganasan dadah di Mexico meragut 28,000 nyawa sejak Presiden Felipe Calderon menguatkan pembanterasan kumpulan sindiket dadah selepas memegang jawatan presiden pada 2006.

No comments:

Post a Comment