Search This Blog

Saturday, September 4, 2010

Suami durjana dipenjara

SYDNEY: Seorang bekas polis dipenjara sekurang-kurangnya 24 tahun, semalam, kerana menolak pasangan yang baru dikahwininya dari tebing tinggi ketika bercuti.
Desmond Campbell, 52, didakwa membunuh isterinya, Janet, dari tebing jurang setinggi 50 meter dan menipu pihak berkuasa dengan berkata, wanita itu tergelincir ketika ingin membuang air dalam gelap.
Menurut hakim, Megan Lathan, Campbell didapati membunuh Janet yang baru enam bulan dikahwini untuk menguasai hartanya.

Campbell yang ketika itu bekerja sebagai anggota paramedik selepas meninggalkan perkhidmatan polis didapati memilih jurang paling curam di selatan Sydney untuk melakukan pembunuhan pada Mac 2005 itu.

Pendakwa, Mark Tedeschi, berhujah tertuduh tidak mencintai, sebaliknya hanya berminat kepada harta wanita terbabit untuk membayar hutangnya.

Katanya, apabila berkahwin, Janet, 49, membeli sebuah rumah atas nama mereka berdua. “Ketika itu, bagi Campbell, Janet lebih berharga jika mati berbanding hidup,” katanya.

Menurut Tadeschi, Campbell memasang khemah mereka di kawasan paling tidak sesuai kerana lokasinya amat berbahaya dan berhampiran jurang.

Pernah bekerja sebagai polis di Surrey, England, Campbell mempunyai tiga teman wanita ketika menjadi suami Janet dan bercuti dengan seorang daripada mereka selepas kematian Janet. - AFP

No comments:

Post a Comment