Search This Blog

Wednesday, September 8, 2010

Rugi lebih RM100,000



BENTONG – Seorang pengusaha kedai gambar di Jalan Ah Peng dekat sini, berdepan kejadian tidak diduga apabila kedainya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, kelmarin. 

Pemilik kedai, Low Ken Lor, 49, berkata, perniagaan kedai gambar itu diusahakan keluarganya sejak 50 tahun lalu dan ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku. 

Menurutnya, semasa kejadian, dia sudah berada di rumah dan hanya dimaklumkan rakan-rakannya sebelum dia bergegas ke tempat kejadian. 

“Ketika sampai, saya lihat api sudah berjaya dipadamkan dan saya cuba untuk masuk ke dalam kedai untuk menyelamatkan barang-barang, tetapi tidak berjaya kerana asap tebal. 

“Kerugian dianggarkan hampir RM100,000, melibatkan mesin pemproses gambar, peralatan elektrik dan pelbagai barangan lain. Saya sudah pun membuat laporan berhubung kejadian ini,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sementara itu, penghuni bilik sewa di tingkat atas kedai itu yang hanya mahu dikenali sebagai Batumalai, 40-an berkata, ketika kejadian, dia sedang bersiap-siap untuk masuk tidur, tetapi berasa tidak selesa kerana terhidu bau asap yang kuat. 

Menurutnya, menyedari kebakaran berlaku, dia bertindak mengejutkan penghuni di bilik sewa berhampiran dengannya supaya menyelamatkan diri masing-masing. 

“Selepas turun ke tingkat bawah, saya bersama orang awam yang lain berusaha memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api yang diambil dari kedai berhampiran. 

“Kami terpaksa memecah masuk pintu kaca di hadapan kedai untuk memadamkan api sebelum ketibaan anggota bomba dan penyelamat dari balai bomba berhampiran,” katanya.

No comments:

Post a Comment