Search This Blog

Saturday, September 25, 2010

Pekerja kilang rugi RM 200,000

Pekerja kilang rugi RM200,000


KUANTAN - Enam beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Taman Idaman Bayu, Cengal Lempong 2 di sini, musnah dalam satu kebakaran, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Lebih malang lagi, kebakaran itu berlaku ketika semua orang tiada di rumah menyebabkan penghuninya tidak sempat menyelamatkan segala dokumen penting dan harta benda membabitkan kerugian kira-kira RM200,000.

Pemiliknya yang merupakan pekerja sebuah kilang, Dahliza Ghazali, 37, berkata, dia tergamam ketika menerima panggilan daripada seorang jirannya yang memaklumkan rumahnya terbakar kira-kira jam 11.15 pagi ketika sedang berada di tempat kerjanya di Gebeng.

“Selepas bergegas balik ke rumah, saya melihat bomba sedang sibuk memadamkan kebakaran.

“Ketika itu, tiada orang di rumah kerana anak semuanya bersekolah dan isteri, Nor Aini Mohd, 36, pula mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balok Makmur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya yang sudah tujuh tahun menetap di situ, dia hanya mampu melihat rumahnya hangus terbakar dalam masa 15 minit sahaja tanpa mampu berbuat apa-apa.

“Bomba terpaksa memecahkan rumah saya yang berkunci untuk memadamkan kebakaran.

“Mujur tiga kenderaan yang berada di garaj rumah sempat diselamatkan oleh jiran yang bertindak pantas selepas melihat asap menjulang dari rumah saya,” katanya yang mempunyai empat anak berusia enam hingga 12 tahun.

Katanya, dia kini buntu memikirkan tempat untuk berteduh buat sementara waktu dan hanya bergantung pada bantuan jiran untuk mendapatkan pakaian dan segala kelengkapan harian yang sudah musnah terbakar.

“Bagaimanapun saya sangat bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat biarpun harta benda habis terbakar,” katanya.

Sementara itu, jirannya, Amy Weliana Wahab, 34, berkata, dia ternampak asap keluar daripada rumah Dahliza ketika sedang mengundurkan kereta dari garaj rumah untuk mengambil anak dari sekolah.

“Ketika itu seorang jiran menjerit kepada saya memberitahu rumah Dahliza terbakar dan saya segera menghubungi bomba pada jam 11.15 pagi.

“Mujur bomba sempat memadamkan kebakaran supaya tidak merebak ke rumah sebelah,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Mohd Amin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 11.30 pagi sebelum dua jentera dan sebuah kenderaan bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, 11 anggota bomba termasuk dua pegawai yang sampai kira-kira lima minit kemudian dapat mengawal api daripada merebak ke kawasan berdekatan dalam masa 10 minit.

“Bumbung rumah sebelah terpaksa dipecahkan untuk memastikan api tidak merebak menerusi bumbung rumah.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan, “ katanya.

Penghulu Mukim Sungai Karang, Mohd Zahidi Husain turut kelihatan melawat rumah mangsa.

No comments:

Post a Comment