Search This Blog

Tuesday, September 28, 2010

Pasangan suami isteri didakwa anjur pelaburan kutu


SABBRI Yusof, 49, dan isterinya, Rahimah Rahim, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini terhadap dakwaan menganjurkan pelaburan wang kutu yang dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971. - Foto Abdullah Yusof


SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dakwaan menganjurkan pelaburan wang kutu yang dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.
Sabbri Yusof, 49, dan isterinya Rahimah Rahim, 39, dari Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.
Pasangan itu yang juga pemilik perniagaan World Heritage Resources didakwa menganjurkan wang kutu dikenali sebagai "Program Ekspres" di premis perniagaan mereka di No: 3, Jalan Keluli AM7/AM, Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7 di sini, di antara 1 Disember 2008 dan 29 April lalu.

Mereka, yang berdiri di luar kandang tertuduh selaku orang kena saman (OKS), didakwa mengikut Seksyen 3 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 2 November depan untuk sebutan bagi membolehkan Sabbri dan Rahimah melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Steve Chin Yun Cheong.

World Heritage Resources, yang berdaftar dengan SSM sebagai agen komisen am, mempunyai kira-kira 30,000 ahli sejak memulakan operasi pada 1 Disember 2008.

-Bernama

No comments:

Post a Comment