Search This Blog

Wednesday, September 8, 2010

Mangsa banjir Pakistan sambut Syawal penuh kedaifan



08/09/2010 11:42am

KARACHI 8 Sept. - Kehadiran Syawal kali ini bagi mangsa bencana banjir Pakistan pastinya tidak semeriah seperti dahulu apabila mereka terpaksa menyambut Aidilfitri di pusat-pusat pemindahan dalam keadaan serba kekurangan.
Lupakan sahaja baju baru, juadah raya, mahupun hiasan harta benda, kerana makanan untuk hari esok sekalipun masih belum dapat dipastikan lagi buat mangsa banjir yang semakin bertambah daif ini.
Sambutan perayaan kali ini cukup memeritkan bagi sesetengah mereka apabila buat pertama kalinya terpaksa menyambut hari lebaran di khemah-khemah penempatan sementara yang panas dan berdebu selain kekurangan kemudahan asas seperti air, makanan dan elektrik.
Malah ada juga di kalangan mereka yang tidak mempunyai tempat berlindung dan hanya beralaskan tikar untuk duduk dan tidur selain mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk memberikan sedikit sumbangan.
Banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Pakistan sejak 22 Julai lepas yang berlarutan sehingga lebih sebulan di beberapa tempat itu adalah yang terburuk pernah dialami negara berkenaan dalam tempoh 80 tahun, dan setakat ini ia meragut sekurang-kurangnya 1,600 nyawa manakala hampir sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Ahmad Dwali Mohamed, 40, yang kini ditempatkan di pusat penempatan sementara mangsa banjir di Ten Villay Hawksvay berkata, impian menyambut kemeriahan sambutan Syawal seperti kebiasaan berkecai.
"Saya memang sedih. Terlalu sedih. Kalau selalu, seperti hari ini, saya akan ke bandar untuk mencari pakaian baru untuk saya, isteri dan anak-anak. Sekarang ia hanya tinggal impian sahaja,” katanya dalam bahasa Urdu yang diterjemahkan melalui seorang jurubahasa.
Mengimbau kenangan berhari raya tahun sebelumnya, pengusaha ternakan lembu itu berkata kalau dahulunya beliau mampu menyediakan juadah berhari raya dengan banyak dan membelikan pakaian baru kepada anak-anak dan isteri.
"Dahulu di hari raya saya mampu menyediakan nasi beriani, ayam goreng, capati, kuah dal dan manisan, namun kali ini semuanya tinggal kenangan. Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda saya kerana air naik begitu cepat. Saya hanya fikir menyelamatkan isteri dan anak-anak sahaja ketika itu,” katanya sambil mengalirkan air mata ketika menceritakan detik-detik cemas itu.
Beliau berkata, rumahnya pada ketika itu dinaiki air sehingga mencecah 1.3 meter. - Bernama

No comments:

Post a Comment