Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Lapan bertempiaran gajah naik angin

KOTA KINABALU: Lapan anggota Unit Penyelamat, Jabatan Hidupan Liar (JHL) bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila dikejar seekor gajah jantan yang naik minyak apabila diturunkan dari lori yang membawanya untuk dilepaskan di kawasan hutan di Ulu Segama, Tawau, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kakitangan terbabit dipercayai sedang menurunkan gajah berkenaan sebelum haiwan itu secara tiba-tiba mengamuk dan mengejar mereka.
Difahamkan, haiwan liar itu ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang JHL beberapa hari sebelum itu selepas mendapat maklumat mengenai kehadiran haiwan terbabit yang mengganggu tanaman penduduk tempatan di ladang kelapa sawit Felda Umas, kira-kira 600 kilometer dari bandar raya ini.

Namun, sebaik dilepaskan daripada kurungan, gajah itu mengamuk dan mengejar anggota unit terbabit. Kejadian itu menyebabkan anggota terbabit terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat pokok serta bersembunyi di sebalik lori.

Ketua Unit Penyelamat JHL, Dr Sen Nathan, berkata gajah berkenaan bertindak agresif sebaik dilepaskan daripada kurungannya.

“Selepas dibebaskan gajah berkenaan menoleh ke arah saya dan terus mengejar. Keadaan cemas itu menyebabkan saya bersama beberapa lagi anggota terpaksa memanjat lori bagi menyelamatkan diri, bagaimanapun gajah itu merempuh lori kami menyebabkan cermin hadapannya pecah,” katanya.

Sen berkata, empat lagi rakan mereka cuba membantu dengan mengalihkan perhatian haiwan liar itu, namun gagal.

“Sebaik mendengar jeritan beberapa anggota lain, gajah terbabit terus menuju ke arah mereka menyebabkan semua mereka terpaksa memanjat pokok menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, gajah itu terus menuju ke dalam hutan dan menghilangkan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment