Search This Blog

Thursday, September 9, 2010

Kemalangan ngeri ragut enam nyawa



LAHAD DATU 8 Sept. - Enam maut manakala enam lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 35 Jalan Lahad Datu-Kunak dekat sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten P. Bong Kuet Khiun berkata, kemalangan pukul 10.25 pagi itu melibatkan bas ekspres, van, kereta Perodua Viva dan sebuah lori tujuh tan.
Katanya, mangsa yang terbunuh ialah penumpang Perodua Viva, Azlan Aziz, 17; pemandu lori, Norawi Madu, 37; dan anak lelakinya, Mohamad Azrul Norawi, 14.
Menurutnya, tiga lagi mangsa ialah pasangan suami isteri, Chin Tet Leong, 30 dan isterinya, Yong Pui San, 24, dan Thien Yuk Lin, 51, yang kesemuanya menaiki van.
"Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa yang parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari.
Kuet Khiun berkata, siasatan mendapati Perodua Viva, van dan lori tersebut sedang dalam perjalanan dari Lahad Datu menghala ke Kunak.
Menurutnya, van itu cuba memotong Perodua Viva di hadapannya tetapi bertembung dengan bas ekspres dari arah bertentangan.
"Bas ekspres itu kemudian hilang kawalan dan melintang di tengah jalan, lalu dirempuh van dan Perodua Viva sebelum tergelincir ke dalam gaung," ujar beliau.
Katanya, pelanggaran itu turut menyebabkan sebuah lori yang berada di belakang Perodua Viva dan van tersebut terbabas masuk ke dalam gaung sama.
Tambah Kuet Khiun, pihaknya bagaimanapun masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan tersebut.
Katanya, pasukan bomba dan penyelamat juga bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.
Beliau berkata, semua mayat mangsa telah pun dihantar ke Hospital Lahad Datu sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.
Pada masa sama, beliau juga menasihatkan orang ramai terutama pengguna jalan raya agar berhati-hati sewaktu berada di jalan raya terutama bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri ini.

No comments:

Post a Comment