Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Bunga api meletup, 9 terselamat


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Sembilan orang termasuk empat kanak-kanak nyaris maut apabila sebuah kotak mengandungi bunga api yang diletakkan di ruang tamu sebuah rumah meletup di Taman Usaha Jaya, Kepong di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi dan kesemua mereka yang berada dalam rumah itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh jiran yang menyedari insiden itu selepas terdengar bunyi letupan kuat.
Jiran mangsa, Che Shamsinah Shafie, 56, memberitahu, dia terkejut dengan bunyi letupan itu yang berlaku secara berulang kali dan turut menyebabkan berlaku gegaran di dinding rumahnya.
"Saya segera keluar dari rumah dan nampak asap tebal keluar dari rumah jiran saya. Saya bimbang kerana setahu saya terdapat kanak-kanak yang berusia antara setahun hingga 5 tahun dalam rumah itu.
"Saya kemudian meminta anak saya menghubungi polis dan meminta penghuni rumah itu yang kesemuanya seramai sembilan orang keluar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Tambah Che Shamsinah, mereka turut membantu mengeluarkan beberapa mangsa yang terperangkap di tingkat dua rumah terbabit dengan memanjat bumbung dan mengumpil jeriji tingkap bagi menyelamatkan mangsa.
Ketika kejadian katanya, pemilik rumah itu tiada di rumah kerana keluar bekerja. Selain empat orang anak, ibu dan empat pembantu rumah warga Indonesia turut berada dalam rumah tersebut.
"Polis tiba tidak lama selepas itu dan berjaya membantu memadamkan api. Saya difahamkan tiada yang cedera dalam kejadian itu," katanya lagi.
Menurut seorang lagi saksi kejadian, Armanshah Ismail, 30, salah seorang pembantu rumah itu memberitahu, anak sulung majikannya yang berusia lima tahun bermain sejenis pembunuh lalat elektronik dan mengetuk kotak mercun terbabit.
"Mungkin itu punca mercun bunga api itu meletup secara tiba-tiba. Ketika masuk ke dalam rumah tersebut, saya lihat masih ada api kecil kesan bunga api itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment