Search This Blog

Friday, September 3, 2010

Bapa sembelih anak diperintah jalani pemeriksaan mental



MUHAIMI Sautar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam .


KOTA BHARU 2 Sept. - Seorang bekas pengawal keselamatan yang didakwa menyembelih hingga mati anak lelakinya berumur tiga tahun pada bulan lalu, diperintah oleh Mahkamah Majistret di sini menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri.
Majistret Mohd. Yusoff Yunus mengarahkan Muhaimi Sautar menjalani pemeriksaan tersebut selama sebulan semasa membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali ketika lelaki itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Muhaimi, 33, didakwa atas tuduhan dengan niat menyebabkan kematian anak lelakinya, Mohd. Adam Muzaffar di No. 133, Jalan Atas Paloh, Kampung Sungai Budor, di sini antara pukul 11.45 pagi dan 12.30 tengah hari, 24 Ogos lalu.
Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Muhaimi yang memakai pakaian penjara berwarna jingga dan berkaki ayam, mengangguk kepala tanda faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Lelaki itu yang mempunyai rekod pesakit mental bagaimanapun hanya mendiamkan diri apabila majistret menawarkan jika dia mahu berkata sesuatu di mahkamah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mohd. Yusoff kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 30 September ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang bapa dipercayai menghadapi masalah mental, menyembelih hingga mati anak lelakinya yang berusia tiga tahun dalam kejadian menyayat hati di Kampung Sungai Budor di sini.
Lelaki terbabit menyembelih anak lelaki tunggalnya itu daripada tiga orang adik-beradik dengan menggunakan sebilah pisau dalam bilik air rumah mereka.
Dia kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya tetapi hanya mengalami kecederaan sebelum ditahan anggota polis dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk diberikan rawatan.
Mayat kanak-kanak malang itu ditemui terbaring berlumuran darah oleh ibunya, Nik Suzila Nik Hashim, 32, yang menyedari kejadian selepas mendengar jeritan kuat anak lelakinya itu.

No comments:

Post a Comment