Search This Blog

Sunday, September 19, 2010

8 beranak menumpang

ALOR SETAR: “Buat sementara waktu pak cik menumpang teduh di rumah adik isteri pak cik bersama lapan beranak yang lain kerana belum ada tempat tinggal baru,” kata Khalid Rejab, 64, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran pada hari raya keempat di Kampung Parit Buaya, Alor Janggus, di sini.
Katanya, setakat ini belum ada pihak datang membantu membaiki rumahnya yang musnah dalam kebakaran meskipun selepas kejadian itu ramai datang memberi sumbangan berupa makanan dan barangan keperluan harian lain.
“Namun yang mengecewakan apabila menantu pak cik, Ahmad Shukri Kadir, 40, yang turut tinggal bersama kami ingin memohon bantuan daripada Koperasi Pekan Rabu tetapi jawapan diterima sungguh menghampakan.

“Menantu pak cik juga ahli koperasi itu tetapi mereka meminta membuat surat selain terlalu banyak kerenah birokrasi,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Parit Buaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian 13 September lalu, sebuah keluarga membabitkan 13 penghuni di Kampung Parit Buaya, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, rumah pusaka didiami lebih 20 tahun itu dipercayai terbakar akibat sistem pendawaian elektrik yang terlalu lama dan berkemungkinan menyebabkan litar pintas.

Ketika kejadian, Khalid tidur di tingkat bawah rumah dua tingkat itu sebelum dikejutkan oleh menantunya, Mohd Zulkarnian Karman, 34, bagi memaklumkan kebakaran berkenaan.

Sementara itu, Khalid berkata, dia bersama isteri, Zubaidah Ibrahim, 64; anak, Khaizurina, 38, dan suaminya, Ahmad Shukri bersama empat anak mereka terpaksa menumpang teduh di rumah saudara mara yang terletak berhampiran rumahnya.

“Semua barangan musnah sekelip mata, termasuk barangan perkahwinan anak perempuan saya yang bekerja sebagai mak andam,” katanya.

Khalid berkata, dia percaya kejadian itu berpunca daripada sistem pendawaian elektrik lama di rumah berkenaan sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian mencecah RM200,000.

“Saya akan membuat permohonan untuk mendapatkan rumah pada minggu depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment