Search This Blog

Thursday, September 30, 2010

Pemandu lori maut diserang sakit jantung



IPOH - Seorang pemandu lori maut akibat serangan sakit jantung selepas terbabas dan merempuh empat kenderaan lain di Bandar Baru Menglembu, lewat malam kelmarin. 

Mangsa, Darshan Singh a/l Tara Singh, 59, dipercayai diserang sakit jantung sebelum lori dipandunya hilang kawalan dan melanggar empat kereta yang diletakkan di bahu jalan. 

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Rodzi Rajab berkata, dalam kejadian jam 11.15 malam itu, mangsa yang memandu lori seberat 10 tan itu turut mengalami kecederaan ringan. 

“Selepas kemalangan itu, mangsa keluar daripada kenderaannya bagi mendapatkan bantuan namun meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai diserang sakit jantung,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Rodzi berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan parah hanya mengalami luka kecil di bahagian badan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga,” katanya. 

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian kemalangan itu. 

Sehubungan itu, bagi yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222.

Mati tergantung



PASIR GUDANG – Seorang lelaki dipercayai pesakit jiwa ditemui mati tergantung di tingkat atas sebuah rumah kosong di Jalan Delima, Taman Cahaya Masai kira-kira jam 7 malam, semalam. 

Mayat Abd Rahim Hasan, 39, ditemui seorang kanak-kanak, Mohd Amirul Ashraf Ismail, 12, yang sedang bermain bola bersama beberapa rakan di padang bola berhampiran rumah kosong tersebut. 

Mohd Amirul Ashraf berkata, dia terpandang kepala orang tergantung dari tingkat atas rumah kosong tersebut ketika salah seorang rakannya menendang bola yang melambung tinggi dan terjatuh beberapa meter dari rumah itu. 

Menurutnya, dia yang ketakutan berlari ke arah rakan-rakannya sambil menunjukkan ke arah rumah kosong lalu bergegas memberitahu kepada bapa rakannya yang tinggal berhampiran. 

“Selepas memastikan objek yang saya lihat adalah mayat, bapa rakan saya segera menghubungi pihak polis. 

“Saya masih terkejut kerana pertama kali melihat kejadian seumpama ini dan mungkin selepas ini kami akan bermain bola jauh dari rumah kosong ini kerana masih berasa takut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, mayat tersebut dipercayai mati lebih 24 jam memandangkan keluarga memaklumkan si mati tidak pulang ke rumah di Jalan Delima Sembilan, Taman Cahaya Masai sejak tiga hari lalu. 

Menurutnya, mangsa dipercayai seorang pesakit jiwa berdasarkan keterangan keluarga dan turut terdapat kad rekod rawatan Hospital Permai di Tampoi yang dijalani mangsa. 

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat. 

“Kes disiasat sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian

Amuk gila talak

KUANTAN: Mungkin akibat gila talak, seorang pembantu perubatan sebuah hospital di sini, bertindak ganas apabila membuat kecoh pada majlis akad nikah bekas isterinya dengan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi wanita berkenaan di Medan Warisan di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan sudah berjabat tangan dengan kadi untuk dinikahkan di rumah pengantin perempuan sebelum bekas suami bakal isterinya tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.

Kejadian itu menyebabkan mangsa patah kaki kanan selain cedera di kepala, muka dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh suspek yang berusia 37 tahun. Suspek dipercayai tidak puas hati dengan tindakan bekas isterinya berkahwin lain sedangkan mereka baru setahun bercerai.

Suspek turut memijak kaki mangsa yang dikatakan belum sembuh sepenuhnya akibat kecederaan lama menyebabkan kaki lelaki berkenaan cedera semula.

Selain itu, suspek turut bertikam lidah dengan bekas isteri dan keluarga wanita berkenaan sebelum dileraikan beberapa tetamu. Dia kemudian ditahan polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Difahamkan, majlis akad nikah itu tetap dilangsungkan selepas suspek ditahan. Biarpun kakinya patah dan mengalami kecederaan lain, mangsa masih mampu menggagahkan diri menyempurnakan pernikahannya.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai tidak puas hati dengan bekas isterinya yang bakal melangsungkan perkahwinan, lalu menyerang bakal suami wanita itu dengan topi keledar.

Katanya, lelaki terbabit sudah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan sebelum dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tinjauan Harian Metro di rumah pengantin perempuan di Medan Warisan, semalam mendapati ia kosong manakala jiran tidak mengetahui di mana keluarga wanita berkenaan berada.

Wakil pendamai kes Zakiah Anas tidak hadir

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, menangguhkan sehingga 26 Oktober ini untuk semua wakil terbabit dalam Jawatankuasa Pendamai memberikan laporan penuh berhubung permohonan perceraian secara baik antara personaliti TV3, Zakiah Anas dan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib.
Hakim Syarie Ghazali Ahmad menangguhkan kes itu selepas kedua-dua wakil yang dilantik pasangan itu tidak hadir ke mahkamah untuk memberi laporan jawatankuasa pendamai walaupun mahkamah memberikan tiga bulan untuk mereka berbuat demikian.
Selain itu, mahkamah akan memberi penerangan lebih jelas kepada wakil jawatankuasa pendamai mengenai tugas mereka. Terdahulu peguam syarie Abdullah Anuar Sahri yang mewakili Zakiah, 43, memaklumkan kepada mahkamah wakil plaintif (Zakiah) tidak dapat hadir pada prosiding kerana lewat mendapat notis.

Polis nafi lengah siasatan

KUALA LUMPUR: Tuduhan liar mengatakan polis lembap mengambil tindakan berhubung kehilangan hartawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dikaitkan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dianggap keterlaluan berikutan polis melakukan sedaya sejak mangsa dilaporkan hilang awal tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail berkata, polis sudah mengambil tindakan wajar dengan melakukan siasatan berhubung laporan diterima sebelum ini, sekaligus menafikan dakwaan adik hartawan terbabit, Dr A Kasi Viswanathan, 32, yang datang ke Malaysia, Isnin lalu.
Menurutnya, polis mengesahkan ada menerima laporan dibuat saudara terdekat Allal di Balai Polis Klang, pada 29 Mac lalu.

“Bagaimanapun, keluarga mangsa yang membayar wang seperti diminta mula berasa sesuatu tidak kena apabila hartawan India terbabit masih tidak dibebaskan. Ahli keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis selepas percaya ditipu individu tertentu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini semalam.

Beliau berkata, polis mulanya menyiasat kes terbabit mengikut kes tipu. Tindakan itu diambil berdasarkan kandungan laporan polis yang dibuat pengadu.

“Selain menyiasat kes penipuan itu, polis menyiasat kes kehilangan mangsa.

“Apa yang jelas, pegawai penyiasat melakukan usaha bagi mengesan Allal, namun mangsa tidak dapat dikesan pada waktu itu,” katanya.

Bagaimanapun, keluarga mangsa sekali lagi membuat laporan polis pada 2 September lalu, selepas polis mendedahkan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. “Hanya selepas itu barulah polis menyiasat kes terbabit dengan lebih mendalam dan mengaitkannya dengan kes Datuk Sosilawati yang hilang dan mati dibunuh.

“Saya harap, keluarga Allal membenarkan polis menjalankan siasatan berhubung kes terbabit. Mereka diharap tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan polis terutama kepada pihak yang tidak ada kaitan dengan kes ini,” katanya.

Hussin berkata, dia melantik pegawai perhubungan khas bagi dijadikan penghubung antara keluarga mangsa dengan polis, selain memberikan maklumat terkini berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan “Setakat ini, seramai 10 suspek ditahan reman berhubung kes berkenaan dan tempoh tahanan reman ke atas semua suspek disambung mengikut keperluan,” katanya.

Ketika diminta mengulas tempoh tahanan reman lima suspek kes pembunuhan Sosilawati yang tamat esok, Hussin berkata, polis belum membuat sebarang keputusan sama ada menyambung reman atau tidak kelima-lima suspek terbabit.
“Saya minta kerjasama semua pihak menyerahkan siasatan kepada kami,” katanya. Isnin lalu, adik ahli perniagaan India terbabit, Kasi Viswanathan mengemukakan aduan rasmi kepada Kerajaan Malaysia terhadap cara kes terbabit dikendalikan dengan mendakwa keluarganya tidak pernah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan siasatan kes itu.

Lanun Somalia rampas satu lagi kapal kargo





2010/09/30

NAIROBI, Kenya: Lanun Somalia menawan sebuah kapal kargo bersama 15 anak akapal warga India di luar pesisir Afrika Timur, menurut Tentera Laut Kesatuan Eropah (EU). 

Jurucakap EU, Left Kol Per Klingvall, berkata Asphalt Venture hilang perhubungan dengan pemiliknya malam kelmarin.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan butiran lanjut insiden itu.
Kapal berkenaan tidak membawa sebarang kargo dan sedang belayar dari Kenya ke Afrika Selatan apabila ia diserang 175 kilometer ke tenggara bandaraya Tanzania, Dar es Salaam. - AP 

Doktor digantung tugas kerana langgan pelacur



Dr. Richard Young


MELBOURNE - Seorang doktor di sini yang didapati bersalah melakukan hubungan seks dengan dua pesakitnya sekali lagi dilarang bertugas selepas dia mengaku membayar seorang pelacur yang juga pesakitnya untuk tujuan seks, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada 2001, perkhidmatan Dr. Richard Young, 42, digantung kerana dia menjalin hubungan seks dengan dua pesakit yang merupakan pekerja seks.
Dia yang merupakan bekas pelajar Universiti Melbourne diberi amaran dan diarah menjalani kaunseling pada 2006 selepas membuat komen yang tidak sesuai ke atas seorang pesakit semasa satu pemeriksaan sakit puan.
Doktor itu juga didapati melakukan pemeriksaan yang tidak perlu ke atas pesakit wanita itu di bahagian alat sulitnya.
Namun, pada satu keputusan yang dibuat pada minggu lalu oleh Tribunal Pentadbiran Awam Victoria, pendaftaran Dr. Young sebagai seorang doktor dibatalkan.
Dia tidak layak untuk bertugas sehingga Julai tahun depan selepas menawarkan sejumlah wang kepada seorang pelacur untuk melakukan seks oral semasa satu pemeriksaan kesihatan dilakukan pada Mac 2004. - Agensi

Tiga dituduh rasuah eksekutif TNB




SENG FATT (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh semalam selepas dituduh melakukan suapan kepada eksekutif TNB atas kesalahan mencuri arus elektrik.


IPOH – Seorang pengarah urusan kilang plastik dan dua kakitangannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menawar dan memberi rasuah kepada seorang eksekutif keselamatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ogos lalu.
Lee Seng Fatt, 48, dan Choo Poh Gaik, 52, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norhayati Mat.
Mengikut pertuduhan, Seng Fatt dan Poh Gaik didakwa menawarkan suapan sebanyak RM30,000 kepada Mat Daud Gimo sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kilang terbabit atas kesalahan mencuri arus elektrik.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memberikan wang berkenaan kepada Mat Daud dan perbuatan mereka itu dilakukan di Dulang Coffee House, Hotel Excelsior di sini masing-masing pada pukul 12.20 tengah hari dan 12.47 tengah hari 5 Ogos lepas.

Harimau betina masuk perangkap




SEEKOR harimau betina berjaya ditangkap oleh Jabatan Perhilitan selepas menerima aduan mengenai kehilangan seekor lembu di Ulu Geroh, Gopeng semalam.


GOPENG – Selepas ‘tertumpasnya’ seekor harimau belang betina di Hutan Simpan Bukit Kinta dekat sini pertengahan Mei lalu, seekor lagi haiwan spesies berkenaan berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin.
Pengarah Perhilitan Perak, Shabrina Mohd. Shariff berkata, harimau belang betina seberat 120 kilogram itu dipercayai tertarik dengan kambing yang dijadikan umpan di salah satu perangkap yang dipasang di ladang kelapa sawit milik Orang Asli, Ulu Geroh kira-kira 50 kilometer dari sini.
Katanya, tindakan memasang perangkap itu dilakukan selepas Perhilitan menerima aduan penduduk kampung berdekatan yang mendakwa ternakan mereka termasuk lembu hilang dibaham binatang buas.
“Pada pukul 7 pagi hari ini (semalam), kita menerima panggilan daripada orang awam mengenai seekor harimau telah memasuki perangkap yang dipasang dan sepasukan pegawai dihantar sejurus kemudian.
“Siasatan awal mendapati harimau berkenaan yang berusia empat hingga lima tahun itu mengalami sedikit luka kecil pada bahagian muka, dipercayai terkena perangkap tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Penyeludup mercun temui ajal




zaid.mohdnoor@kosmo.com.my">

ANGGOTA bomba memeriksa sebuah lori membawa muatan mercun yang terbalik hingga mengorbankan pemandunya di Jeli semalam.


JELI – Tindakan seorang penyeludup mercun melarikan diri daripada dikejar sebuah kenderaan pacuan empat roda kastam mengundang padah apabila dia mati selepas mengalami kecederaan parah apabila lori yang dinaiki bersama seorang kelindan terbabas dan terbalik di Jalan Kampung Lawa-Batu 10, Jalan Raya Timur Barat di sini semalam.
Kejadian pukul 6.40 pagi itu berlaku apabila lelaki berusia 26 tahun tersebut dikatakan cuba melarikan diri selepas merempuh kenderaan kastam yang ingin menahan mereka selepas disyaki cuba menyeludup mercun dan bunga api bernilai puluhan ribu ringgit.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Supritendan Muhammad Hanifa Abd. Malek berkata, suspek cuba melarikan diri sambil dikejar oleh anggota kastam tersebut

Dr. Kasi beri keterangan




SEORANG pekerja mengangkat kotak berisi fail yang diambil dari pejabat guaman Patmanaban di Jalan Sultan Alam Shah, Banting semalam.


BANTING – Dr. Kasi Viswanathan, adik hartawan India, Allal Kathan Muturaja yang dilaporkan hilang Januari lalu, semalam hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini buat pertama kali untuk memberikan keterangan berhubung kes kehilangan abangnya itu.
Kasi dilihat memasuki IPD itu pada pukul 12 tengah hari dengan ditemani isterinya yang dikenali Maria, abangnya Vijaya Subramaniam dan peguam G. Saraswaty. Dia selesai memberi keterangan kira-kira enam jam kemudian.
Bagaimanapun, hanya Kasi yang diambil keterangan bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes tersebut.
Sementara itu, Vijaya ketika ditemui pemberita di luar IPD itu berkata, sehingga kini dia dan ahli keluarga lain belum lagi memberi sampel kepada polis bagi menjalani ujian asid deosiribonukleik (DNA) untuk membantu siasatan.
“Kami menaruh harapan tinggi polis negara ini dapat menyelesaikan kes kehilangan itu dengan segera,” katanya.

Sempat bebas cuma 15 minit



YONG TOE (kiri) diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Kuantan selepas didakwa atas tuduhan mengedar 753 kilogram syabu semalam.


KUANTAN – Seorang pemandu lori, Lee Yong Toe yang berhadapan hukuman mandatori gantung sampai mati atas tuduhan mengedar 753 kilogram dadah syabu bernilai kira-kira RM254 juta di Rompin pada 2 Mei tahun lalu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Tertuduh yang diwakili empat peguam diketuai Datuk V. Sithambaram bagaimanapun hanya sempat meraikan kebebasan tersebut selama 15 minit sebelum ditangkap semula bagi membolehkan dia ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985). Dia ditahan di luar pagar mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir semasa membacakan penghakimannya berkata, Yong Toe, 48, dibebas dan dilepaskan daripada dakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas itu kepunyaan tertuduh dan oleh itu dia didapati tidak bersalah dan memerintahkan dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan,” katanya.
Menurut fakta kes, Yong Toe dari Taman Iskandar, Johor Bahru, Johor dituduh mengedar 753 kilogram dadah syabu bernilai RM254 juta di Jalan Chenderawasih dekat Rompin ketika polis mengadakan sekatan jalan raya pada pukul 6.45 pagi 2 Mei 2009.
Dia dituduh membawa dadah tersebut dalam sebuah lori ais bersama seorang lelaki yang masih bebas ketika melalui tempat serbuan.
Sebelum penahanan semula pemandu lori itu, Akhtar dalam penghakimannya berkata, kegagalan pasukan pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin dan Ahmad Fadhli Mahmud untuk memanggil dua saksi penting berhubung kes itu juga menjadi faktor penentu nasib tertuduh dalam kes berkenaan.
Ujar Akhtar, perbicaraan kes berkenaan juga diselubungi kontroversi selepas mahkamah dimaklumkan mengenai laporan palsu dibuat pengadu dan salah laku beberapa anggota polis yang menjadi saksi

Pencuri kelar leher detektif

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/09/30

AMPANG: Hanya kerana sebotol penyegar mulut, seorang lelaki sanggup menikam seorang detektif dalaman yang mengesan perbuatannya yang mencuri barang berkenaan di sebuah pasar raya di Pandan Indah, di sini, kelmarin.
Akibatnya, detektif dalaman berusia 23 tahun itu menerima 10 jahitan di dada, selain cedera di leher dan tangan selepas dikelar ketika cuba mempertahankan diri.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa mengekori pergerakan seorang lelaki yang mencurigakan.

“Mangsa melihat suspek mengambil sebotol penyegar mulut dan keluar tanpa membuat pembayaran di kaunter,” katanya.

Katanya, sejurus melihat suspek cuba beredar, mangsa menahannya di luar pasar raya itu sebelum memperkenalkan diri detektif dalaman pasar raya berkenaan.

“Mangsa memberitahu ingin membuat pemeriksaan sebelum suspek yang ketakutan cuba melarikan diri, namun dikejar mangsa.

“Suspek ditahan sebelum dia tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau,” katanya.

Katanya, mangsa cuba merampas pisau dipegang suspek, namun tidak berjaya.

“Suspek menikam dada selain mengelar leher dan tangan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat mangsa bergelut dengan suspek dan ini menyukarkan polis melakukan siasatan.
“CCTV hanya dipasang di beberapa premis dalam pasar raya berkenaan dan agak sukar untuk mengecam wajah suspek, namun mangsa dapat membuat lakaran fotofitnya.

“Setakat ini, siasatan lanjut dijalankan dan polis kini bergantung lakaran fotofit daripada mangsa untuk mengesan suspek terbabit,” katanya.

Amah ditemui berlumuran darah





2010/09/30

KUCHING: Seorang pembantu rumah Indonesia ditemui cedera parah akibat tetakan di kepala, berdekatan pagar rumah majikannya di Jalan Keranji, Tabuan Desa di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Habibah Adam, 46, yang mula bekerja kira-kira dua bulan di negara ini, ditemui orang ramai dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri dengan kepala serta mukanya berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata jiran yang melihat keadaan mangsa menghubungi majikannya yang berada di tempat kerja sebelum majikan terbabit menghubungi polis.
Berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian hanya seorang wanita berusia 75 tahun iaitu ibu kepada majikan mangsa berada di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dan kita percaya ada seorang individu lain terbabit dalam kes ini. 

Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa cuba dirompak pihak luar atau mungkin cuba membunuh diri atau mempunyai tekanan perasaan sehingga mendorong bertindak mencederakan dirinya," katanya ketika dihubungi. 

Difahamkan, mangsa yang diambil bekerja oleh majikan yang berusia kira-kira 30-an itu untuk menjaga ibunya yang menghidapi penyakit Alzheimer dan tidak mampu menguruskan diri sendiri, selain menjaga rumah. 

Kock Keong berkata, mangsa yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Umum Sarawak (HUS) berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri berikutan kecederaan serius.

Bayi 3 bulan mati di rumah pengasuh



Oleh Suhana Roslan dan Nor Fazlina Abdul Rahim

2010/09/30

Tiada kesan kecederaan fizikal luaran, dalaman

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan ditemui mati dalam buaian di rumah pengasuhnya di kawasan perumahan, di Jalan Dutamas di sini, kelmarin. 

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pengasuh wanita berusia 50 tahun, dikatakan sedang mendodoikan Danish Noor Rasmazi sebelum mendapati bayi berkenaan tidak bergerak dan bertindak menelefon bapanya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa Danish yang bekerja sebagai pegawai bank bergegas pulang ke rumah dan membawa anaknya itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Laporan perubatan mengesahkan Danish sudah meninggal dunia sebelum beliau dibawa ke HKL. 

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian secara mengejut sementara menunggu laporan ujian air kencing dan darah Danish daripada pihak hospital, katanya di sini, semalam. 

Zakaria berkata, Danish ditinggalkan bersama pengasuhnya sejak sebulan lalu, selepas ibunya yang bekerja sebagai jururawat baru saja memulakan tugas sebaik saja habis berpantang. 

Katanya, hasil laporan bedah siasat menunjukkan tiada kesan kecederaan fizikal luaran dan dalaman pada badan bayi itu. 
Bagaimanapun, katanya, polis akan menjalankan siasatan sebaik saja menerima laporan ujian air kencing dan darah mangsa.

Polis tahan 4 lelaki, rampas peluru hidup





2010/09/30

MIRI: Polis menahan empat lelaki dan merampas sebutir peluru hidup dipercayai digunakan dalam beberapa kes rompakan bersenjata membabitkan nilai rompakan lebih setengah juta ringgit di utara Sarawak, sejak awal tahun ini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superitendan Ismail Idris berkata suspek pertama ditahan pada 10 September lalu di Kilometer 43 Jalan Bintulu-Miri diikuti tiga lagi suspek beberapa hari kemudian.
Tiga lagi anggota kumpulan penjenayah yang berusia 22 hingga 33 tahun masih bebas dan diburu polis, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Miri di sini, semalam.
Ismail berkata, kumpulan penjenayah itu dipercayai melakukan sekurang-kurangnya sembilan kes rompakan sejak awal tahun ini termasuk membabitkan samun, pecah rumah dan rompakan kenderaan. 

Katanya, polis menemui barangan rompakan semuanya bernilai RM171,000 termasuk kenderaan yang dilarikan, selain rantai emas, komputer riba, telefon bimbit dan pelbagai barangan lain milik mangsa.

Along pecah masuk rumah ibu tunggal





2010/09/30

KOTA KINABALU: Akibat meminjam daripada ceti haram atau along, seorang ibu tunggal menerima padah apabila rumahnya di Kampung Sim-Sim, Sandakan, kira-kira 350 kilometer (km) dari sini dipecah masuk pada Ahad lalu.

Mangsa yang juga ibu tunggal berusia 26 tahun itu yang meminjam RM2,000 pada 28 Ogos lalu untuk perbelanjaan sempena Aidilfitri, kini menanggung hutang berlebihan apabila faedahnya mencecah RM20,000.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa, berkata kegagalan mangsa membayar RM3,500 secara tunai menyebabkan sekumpulan 10 along mengambil barangan di rumahnya.
Mangsa membayar RM50 setiap hari selepas meminjam daripada along sehingga 13 September lalu. Bagaimanapun, bermula 14 September hingga 26 September lalu, mangsa tidak membayar hutangnya kerana berada di Kota Kinabalu, sekali gus faedah hutangnya meningkat sebanyak RM20,000 dalam tempoh 12 hari, katanya

11 maut



Oleh Betty Subaryati dan Nik Khazami Nik Aziz

2010/09/29

Guru lelaki mangsa terbaru denggi meninggal di HUSM 

KOTA BHARU: Seorang guru lelaki menjadi mangsa terbaru denggi meninggal dunia selepas diberi rawatan kira-kira seminggu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada Rabu lalu, menjadikan 11 kematian setakat ini di Kelantan. 

Mangsa berusia 49 tahun yang meninggal dunia akibat denggi berdarah itu adalah kes yang dilaporkan sehingga 22 September lalu.
Kakak mangsa, Mek Abdullah, 61, berkata beliau hanya menyedari adiknya dijangkiti denggi selepas mengalami demam berpanjangan sehingga terpaksa dikejarkan ke HUSM, dekat sini, pada 16 September lalu.
"Adik saya mengalami pendarahan teruk di hidung, mata dan telinga bermula pada 22 September lalu selepas beberapa hari menerima rawatan, keadaannya bertambah teruk dan akhirnya meninggal dunia di hospital berkenaan. 

"Sebelum kes kematian adik saya, terdapat enam kes sama dilaporkan di sekitar kampung ini, berikutan itu kami sepakat membuat laporan dan sepasukan pegawai dari Jabatan Kesihatan daerah Kota Bharu datang menjalankan semburan kabus," katanya. 

Penduduk Kampung Demit yang juga jurutera Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Mohd Arif Fazli Ibrahim, 31, mengakui sikap pengotor masyarakat negeri ini menjadi punca kepada peningkatan kes denggi. 

"Kita juga perlu meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya lebih kerap menjalankan kutipan sampah terutama di kawasan berpontensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk," katanya. 
Tinjauan Edisi Timur, di sekitar Kampung Demit mendapati sebahagian penduduk mula memberi perhatian terhadap aspek penjagaan kebersihan dengan memastikan pasu bunga dan tin kosong mengandungi takungan air dibuang. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Wan Masnsor Hamzah, berkata bilangan kes yang terkumpul sehingga semalam ialah 2,863 kes dengan Kota Bharu sebanyak 1,007, diikuti Pasir Mas (739); Tanah Merah (257); Tumpat (184); Kuala Krai (172); Pasir Puteh (120); Bachok (124); Machang (115); Gua Usang (95) dan Jeli (50). 

"Jabatan Kesihatan negeri menjalankan banyak kempen membanteras pembiakan nyamuk aedes, namun penduduk negeri ini masih kurang memberi kerjasama membabitkan penjagaan kebersihan persekitaran. 

"Ini terbukti apabila hasil lawatan di lokasi wabak termasuk di sekitar Kampung Demit dan Kubang Kerian, di sini, mendapati banyak kawasan rumah yang kotor selain membiarkan sampah sarap dibuang merata tempat sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Darling kena denda RM15,000



Oleh Siti Nurazlinee Azmi

2010/09/30

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri dihukum denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan, menggunakan dokumen resolusi sebagai palsu, tiga tahun lalu. 

Hakim Jagjit Singh yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Nasreen atau lebih dikenali sebagai Darling, 27, dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.
Selepas mahkamah mengambil kira hujahan peguam dan jawapan ringkas Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah KM Abu Bakar dan keinsafan tertuduh termasuk tidak mempunyai rekod lampau, mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan jika ingkar penjara tiga bulan, katanya.
Darling yang membayar denda itu dituduh menggunakan dokumen Resolusi Pekeliling Pengarah, Nasridz Sdn Bhd sebagai tulen di RHB Bank Bhd, Level 1 Tower 2, RHB Centre, 426 Jalan Tun Razak Cheras di sini, pada 16 Ogos 2007. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Terdahulu peguam Darling, A Kailesh dalam rayuan meringan hukuman memberitahu mahkamah anak guamnya mengalami tekanan perasaan apatah lagi beliau kini sedang mengandung dua bulan selepas mendirikan rumah tangga dengan Nur Azlin Rahmat, 34. 

Selain itu, pengadu dalam kes ini, Mohamad Ridzuan Mat Hussin sudah menarik semula laporan bertarikh 18 Mac 2008 dan menandatangani perjanjian penyelesaian pada Mei lalu bersama tertuduh selepas Darling menyerahkan cek bernilai RM150,000 iaitu wang milik Mohamad Ridzuan, katanya. 
Beliau berkata, tertuduh turut menerima kesan daripada kes berkenaan iaitu tiada pendapatan berikutan tidak lagi menerima tawaran berlakon daripada penerbit.

Singapura terus haramkan 100 web





2010/09/30

Sekatan internet dilihat simbol nilai masyarakat

SINGAPURA: Singapura berkata ia akan terus mengharamkan 100 laman web dan menolak saranan sebuah panel dilantik kerajaan supaya memansuhkan sekatan internet.

Kerajaan akan terus menyekat laman web berkenaan yang mengandungi bahan pornografi, hasutan kaum dan agama atau menggalakkan keganasan dan ekstremisme sebagai simbol yang mencerminkan nilai Singapura, kata Kementerian Penerangannya.
Kami akan mengekalkan sekatan, sebagai satu simbol nilai masyarakat. Ia sentiasa menyedarkan kita bahawa ada bahan tertentu di internet yang tidak baik, kata pemangku menteri, Lui Tuck Yew.

Namun, kementerian berkenaan berkata, ia akan melonggarkan penapisan bagi pertunjukan teater, yang sudah pun dilonggarkan bagi membangunkan sektor kesenian di Singapura bagi membantu menjadikan pulau dengan 5.1 juta penduduk ini sebagai tempat lebih menarik untuk pelaburan asing dan pekerja.

Kumpulan kesenian yang diundang akan mempunyai lebih banyak kelonggaran dan mereka tidak lagi diperlukan mengemukakan skrip untuk dibaca, kata Lui.

Singapura menguatkuasakan peraturan ketat ke atas ucapan di tempat awam atas alasan mengekalkan kestabilan politik di negara itu yang mempunyai penduduk pelbagai etnik dan agama.
Pengkritik pula berkata, undang-undang itu bertujuan menyekat suara bantahan.
Kerajaan yang diperintah oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sejak merdeka pada 1965, mengawal kehidupan rakyatnya seperti mengharamkan penjualan gula-gula getah, mendesak rakyatnya bertutur bahasa Inggeris dengan betul dan cuba menghalang penduduknya daripada hidup secara sekelompok dengan mengawal perhiasan yang berunsur etnik di bangunan apartmen awam. 

Kita perlu beredar daripada keadaan terlalu bergantung kepada kerajaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kajian Semula Penapisan, Goh Yew Lin, awal bulan ini.
Kementerian berkenaan berkata, hasil kaji selidik menunjukkan kebanyakan rakyat Singapura menyokong pengharaman ke atas laman web itu. AP

Militan tembak mati 5 penduduk





2010/09/30

YALA: Suspek pemberontak membunuh lima orang dan mengakibatkan tiga parah, termasuk dua kanak-kanak dalam satu serangan tembakan tepi jalan di selatan Thailand, kata polis semalam. 

Lima militan berpakaian seperti polis memberhentikan trak pikap mereka awal petang kelmarin berdekatan sebuah gerai buah-buahan di wilayah Pattani dan melepaskan tembakan ke arah penjual dan pelanggan.Empat lelaki dan seorang wanita, 35, ditembak dan meninggal dunia di hospital berhampiran sementara tiga lain, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, budak lelaki, 7, dan seorang pemuda, 24, cedera parah, kata polis.
Selepas itu, penyerang membakar kereta tanpa penumpang. Kedua-dua penduduk Buddha dan Islam menjadi sasaran penyerang dalam tempoh lebih enam tahun sejak pemberontakan pemisah meletus di wilayah selatan pada Januari 2004. Lebih 4,300 orang terkorban di rantau itu. AFP

Al-Qaeda rancang serang Eropah





2010/09/30

ANGGOTA polis bersenjata mengawal kawasan di seberang Downing Street, ketika sebuah bas pelancong melalui jalan itu, semalam.
ANGGOTA polis bersenjata mengawal kawasan di seberang Downing Street, ketika sebuah bas pelancong melalui jalan itu, semalam.
Kumpulan militan didedah berkomplot lakukan keganasan ala Mumbai

LONDON: Agensi perisikan Barat semalam mendedahkan satu komplot al-Qaeda untuk melancarkan serangan pengganas ala-Mumbai di Britain, Perancis dan Jerman, kata laporan semalam.

Militan berpusat di Pakistan itu merancang serangan serentak di sini dan bandar besar di Perancis dan Jerman, lapor televisyen Sky News Britain, memetik sumber perisikan sebagai berkata.
Ia adalah satu daripada rancangan serangan Al-Qaeda paling serius sejak beberapa tahun lalu dan mendapat inspirasi daripada pemimpin kumpulan peng-ganas yang diburu di kawasan puak Pakistan, kata Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Amerika Syarikat (AS) juga mungkin menjadi sasaran dan Presiden Barack Obama sudah diberi taklimat mengenai ancaman itu, kata ABC News di AS, memetik pihak berkuasa negara itu.

Rancangan itu sudah berada pada peringkat lanjut, namun belum dimuktamadkan dan serangan mengejut terbaru tentera Barat di Pakistan baru-baru ini mengorbankan beberapa pemimpin komplot itu, kata Sky.

Pasukan jihad yang bersenjata lengkap, ala komando merancang untuk menawan tebusan Barat dan membunuh mereka, dalam satu tindakan seumpama dengan rampasan dua hotel India di Mumbai pada 2008, menurut BBC.

Dalam serangan Mumbai itu, 10 lelaki bersenjata melakukan kepungan tiga hari ke atas pusat kewangan India berkenaan, membunuh 166 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain. 
Di Britain semalam, tahap ancaman negara masih dikekalkan serius, sejak Januari lalu, yang bermaksud ancaman serangan pengganas amat tinggi.

Perancis meletakkan amaran berjaga-jaga peringkat tinggi, namun seorang pegawai berkata lewat kelmarin amaran itu tidak dikaitkan dengan rancangan al-Qaeda yang dilaporkan itu.

Komplot menyasarkan Eropah didedahkan selepas perkongsian perisikan antara Britain, Perancis, Jerman dan AS serta kerjasama mereka menyebabkan rancangan serangan digagalkan, kata Sky.

Sebilangan ketua komplot terkorban dalam serangan mengejut yang ditingkatkan oleh tentera Barat sejak beberapa minggu lalu untuk menyasarkan mereka, kata syarikat penyiar itu.

Akhbar Wall Street Journal melaporkan kelmarin CIA meningkatkan serangan mengejutnya di kawasan puak Pakistan sebagai sebahagian usaha menghalang serangan besar-besaran ke atas bandar Eropah. AFP