Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Tiga maut dua ghaib

KUALA LUMPUR: Kemalangan ngeri meragut nyawa tiga pelajar sebuah kolej swasta dipercayai warga Iran di Kilometer 5-3, Jalan Syed Putra, Lebuh Raya Persekutuan, di sini, semalam menimbulkan tanda tanya apabila dua mangsa terselamat dalam kemalangan itu menghilangkan diri.
Malah, tiada dokumen pengenalan diri ditemui daripada mangsa terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi selepas hujan itu, tiga pelajar iaitu dua wanita dan pemandu lelaki, maut sementara dua lagi cedera apabila kereta Chevrolet Aveo biru dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh tiang papan tanda. Dua mangsa terbunuh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah, manakala seorang wanita disahkan meninggal dunia jam 5 pagi ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kedua-dua rakan lelaki yang cedera itu bagaimanapun melarikan diri ketika dirawat di PPUM.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata ketika kejadian, lima pelajar sebuah kolej berusia 20-an dalam perjalanan dari dari arah Klang Lama menghala ke Petaling Jaya.

Beliau berkata, sebaik tiba di susur keluar Lebuhraya Persekutuan, kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai dari Iran itu terbabas ke laluan kanan dan merempuh tiang papan tanda.

“Akibat rempuhan kuat itu, pemandu kenderaan dan penumpang di hadapan maut serta-merta, manakala seorang wanita disahkan meninggal sejam kemudian dan dua lagi mangsa lelaki menerima rawatan pesakit luar.

“Polis kini mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mereka serta di lokasi kejadian, malah akan menghubungi pengurusan Kolej Bandar Utama, Petaling Jaya, tempat mereka belajar bagi mendapatkan identiti mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdullah berkata, siasatan mendapati Chevrolet Aveo dinaiki mereka disewa di Kajang dua hari sebelum itu.

“Apa yang menjadi tanda tanya, dua lagi mangsa yang terselamat mendapatkan rawatan pesakit luar menghilangkan diri sebaik saja keluar hospital dan polis juga mengesan motif tindakan mereka sama ada terbabit dalam kegiatan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment