Search This Blog

Saturday, August 14, 2010

Polis buru suspek buang mayat bayi

Anggota polis mengangkat mayat bayi lelaki yang dijumpai
terapung dalam sebuah bakul di bawah jambatan
 di Selat Tebrau berhadapan Pejabat MBJB, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Ogos - Polis masih menjejaki suspek terlibat dalam kes pembuangan mayat seorang bayi lelaki yang ditemui dalam sebuah bakul di perairan Selat Tebrau di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sehingga kini pihaknya masih belum melakukan sebarang tangkapan berhubung kes tersebut.
"Kami (polis) menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian agar menghubungi talian hotline polis Johor 07-2218999 bagi membantu siasatan.
"Polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat dengan sulit," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan penemuan mayat seorang bayi lelaki dalam keadaan telanjang di dalam sebuah bakul di perairan Selat Tebrau di sini oleh seorang lelaki yang sedang menjala ikan pada pukul 5.30 petang semalam.
Mohd. Noh Othman, 60, yang ketika itu sedang menjala ikan di bawah jambatan di Jalan Persiaran Tun Sri Lanang di Selat Tebrau berhadapan dengan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) terkejut apabila terpandang sebuah bakul yang terapung.
Dia kemudian mengambil bakul tersebut dan menelefon keluarganya di Jalan Mahmoodiah sebelum membuat laporan di Balai Polis Central di sini, selepas berbuka puasa.
Sebaik sahaja menerima laporan sepasukan anggota polis dari Unit Forensik bergegas ke tempat kejadian dan mendapati bayi lelaki tersebut telah meninggal dunia.utusan

No comments:

Post a Comment