Search This Blog

Sunday, August 8, 2010

Perbualan terakhir

MASJID TANAH: Impian seorang lelaki yang juga pemastautin tetap (PR) untuk bertemu isteri dan dua anaknya di Sumatera, Indonesia tidak kesampaian apabila dia maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, mangsa dikenali sebagai Sartono Karsoif, 51, mengayuh basikal dari rumah kongsi di Jalan Bertam-Sungai Udang menuju ke Pasaraya Econsave sebelum dilanggar sebuah kereta Proton Waja dari arah belakang.
Mangsa yang bekerja sebagai tukang besi di Sungai Udang sejak beberapa tahun lalu dikatakan mendaki bukit sebelum dirempuh kereta itu, menyebabkannya tercampak sejauh lima meter lalu terhumban ke dalam longkang.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera parah di kepala dan mati serta-merta di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berusia 30-an itu tidak cedera.

Rakan karib mangsa, Suhibin Mukminin, 34, yang terkejut dengan kejadian itu berkata, dia tidak menyangka perbualannya bersama mangsa sebelum lelaki berkenaan pergi ke kedai adalah kali terakhir.

Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, arwah sempat berborak dengannya dan tidak sabar-sabar mahu balik ke kampungnya di Sumatera kerana sudah beberapa tahun tidak pulang.

“Dalam perbualan itu dia menyatakan hasrat membeli keperluan untuk anak dan isterinya yang sangat dirindui selepas sekian lama tidak bertemu bagi meraikan Ramadan ini dan berharap dapat menyambut hari raya bersama anak isteri di sana (Indonesia).

“Sebelum pergi ke pasar raya itu, dia beritahu hendak membeli beberapa pasang pakaian dan kasut untuk dua anaknya, malah sudah membeli tiket penerbangan ke Jakarta kira-kira jam 4 petang, Isnin ini (esok), namun niatnya tidak tercapai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poon Nam E Kling berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan datang dari arah Bertam Hulu menghala ke Sungai Udang, manakala mangsa menunggang basikal di bahu jalan.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, basikal ditunggang mangsa tiba-tiba masuk ke tengah jalan, menyebabkan pemandu kereta tidak sempat membrek untuk mengelak lalu melanggar belakang basikal.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik IPD Melaka Tengah di talian 06-2834139 untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment