Search This Blog

Thursday, August 26, 2010

Penjual bunga api diserbu ketika sibuk layan pelanggan

POKOK SENA: Seorang penjual mercun tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa apabila tiba-tiba diserbu empat pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) ketika menjual mercun di pasar Ramadan Tualang, dekat sini, kelmarin.
Ketika diserbu, lelaki berusia 30-an itu sibuk melayan pelanggan tanpa menyedari empat pegawai berkenaan menjalankan operasi.
Seorang lagi penjual mercun dan bunga api tidak jauh dari situ sempat melarikan diri bersama mercun dijual sebaik melihat rakannya ditahan pegawai terbabit.

Empat pegawai KDRM diketuai Pegawai Kastam Kanan Heng Hua Aik merampas semua mercun dan bunga api berjumlah kira-kira RM1,000 itu untuk dibawa ke ibu pejabat kastam bagi siasatan lanjut.

Pegawai terbabit juga mengambil keterangan ringkas daripada lelaki berkenaan sebelum meninggalkan pasar Ramadan itu.

Sementara itu, Pengarah KDRM Kedah, Saadon Mohd Dros ketika dihubungi berkata, operasi itu ialah Ops Raya bertujuan membanteras kegiatan menjual, menyimpan dan bermain mercun dan bunga api sepanjang perayaan ini.

“Operasi ini kita laksanakan di seluruh negeri sejak 22 Ogos lalu dan dijangka berakhir pada Aidilfitri ini,” katanya.

Katanya, anggotanya akan membuat rondaan di semua pasar Ramadan, pasar malam dan kedai runcit bagi mengesan penjual mercun dan bunga api.

No comments:

Post a Comment