Search This Blog

Saturday, August 21, 2010

Mayat penuh kesan lebam

REMBAU: “Sayu hati saya apabila kanak-kanak malang itu sudah tidak bernyawa ketika saya memeriksanya,” kata seorang pengawal keselamatan yang menemui mayat kanak-kanak lelaki berusia setahun di sebuah pondok menunggu bas di Kilometer 14 Jalan Pedas-Linggi di Kampung Kundur Hilir, di sini, semalam.

SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di lokasi mayat kanak-kanak lelaki ditemui pagi semalam.
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di lokasi mayat kanak-kanak lelaki ditemui pagi semalam.

Menceritakan kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Mohammad Som Adlan, 62, berkata, dia menunggang motosikal untuk ke tempat kerja, namun perjalanannya disekat sekumpulan pelajar sekolah yang dalam keadaan cemas dan mereka memaklumkan ada kanak-kanak ditinggalkan di kerusi di pondok menunggu bas.

“Saya terus ke pondok itu dan mendapati seorang kanak-kanak yang lengkap berpakaian dan dibalut dengan tuala berada dalam keadaan terbaring di atas kerusi. Selepas memeriksa, saya dapati dia sudah tidak bernyawa. Saya kemudian memaklumkan kepada polis,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, sepasukan polis menerima maklumat kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu didapati sudah meninggal dunia tidak lama sebelum dia ditemui pelajar di pondok menunggu bas itu.

“Polis menemui kesan lebam pada kepala, muka, mata dan belakang badan kanak-kanak itu,” katanya.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
“Polis juga meminta kerjasama mana-mana klinik swasta yang memberi rawatan kepada kanak-kanak berusia dalam lingkungan satu tahun yang mempunyai kesan kecederaan sedemikian supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Rembau di talian 06-6852222 atau 06-6851999.

No comments:

Post a Comment