Search This Blog

Monday, August 23, 2010

Lima bot nelayan Vietnam ditahan dalam bulan puasa


KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima buah bot nelayan Vietnam bersama 58 awak-awak dalam empat operasi di perairan Terengganu dan Kelantan sejak awal puasa hingga hari ini.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Timur, Komander Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata, tiga buah daripada bot itu dengan 37 kru ditahan di Terengganu manakala dua lagi bersama 21 kru ditahan di Kelantan.

"Dengan tangkapan ini membuktikan kita (maritim) beroperasi seperti biasa sama seperti bulan lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau memberi jaminan kepada komuniti maritim supaya tidak takut keluar ke laut kerana APMM menjalankan operasi menyeluruh meliputi kawasan maritim Wilayah Timur.

Dalam pada itu, Syed Mohd Fuzi meminta nelayan tempatan khususnya nelayan laut dalam segera melaporkan kepada APMM sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai pencerobohan nelayan asing.

Beliau juga mengingatkan nelayan kelas B dan C supaya mematuhi syarat lesen dan tidak menceroboh kawasan nelayan pantai kerana kini pihaknya banyak menerima aduan tentang pencerbohan bot kelas itu di tempat berkenaan.

No comments:

Post a Comment