Search This Blog

Sunday, August 8, 2010

Hajat 2 sahabat tidak sampai

PEKAN: Kegembiraan dua sahabat karib yang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut hari pertama Ramadan bersama keluarga berakhir tragedi ngeri selepas Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa alat ganti motosikal.
Kejadian berlaku di Kilometer 54, Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Muhamad Halif Hamzah, 25, dari Kampung Rhu Batik, Dungun, Terengganu dan Ahmad Fuad Mohamad, 26, dari Kampung Gelugor, Kerteh, Terengganu. Kedua-duanya maut di tempat kejadian.

Ketua polis daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati dua sahabat terbabit yang bekerja di Singapura dan tinggal di Gelang Patah, Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke Dungun, Terengganu.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Muhamad Halif dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori membawa muatan alat ganti motosikal.

Katanya, akibat pertembungan itu dua mangsa terbabit yang tersepit dan cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat mereka dikeluarkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan.

Yahaya berkata, pemandu lori terbabit yang berusia lingkungan 40-an cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Pekan (HP) sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut.

“Siasatan turut mendapati, pemandu lori terbabit yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Johor Bahru untuk menghantar barang alat ganti motosikal dilaporkan masih tidak sedarkan diri akibat cedera di kepala.

“Mayat dua sahabat itu kemudian dihantar ke HP untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga pagi semalam,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian mendapati keadaan cuaca baik serta permukaan jalan lurus.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment