Search This Blog

Sunday, August 15, 2010

Dua hari usung mayat bayi

KUALA LUMPUR: Rahsia isi kandungan beg pakaian yang dibawa seorang warga Indonesia yang sanggup berjalan kaki dari Keramat ke Wangsa Maju sejak dua hari lalu terjawab apabila mendapati ia mengandungi bayinya yang mati sebaik dilahirkan Rabu lalu di sebuah rumah di Ampang Ulu, dekat sini.
Wanita berusia 40 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah itu dikatakan sedang meminta bantuan orang ramai untuk mengkebumikan mayat bayinya itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam, wanita berkenaan yang cuba mendapatkan bantuan warga senegaranya di sebuah rumah kongsi di belakang sebuah kondominium di Wangsa Maju ditahan polis sebaik permintaannya untuk mengkebumikan bayinya itu dimaklumkan kepada polis.

Menurut sumber, polis tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian sebelum wanita terbabit mendakwa mayat bayi yang dibawanya itu bukanlah miliknya.

“Sebaliknya, wanita itu mendakwa bayi perempuan berkenaan adalah milik isteri seorang rakannya di Hulu Klang yang memintanya menanamkan mayat bayi berkenaan. “Malah, wanita itu sanggup berjalan kaki sejauh kira-kira 10 kilometer untuk menanam mayat bayi perempuan itu kerana tidak berjumpa lokasi sesuai di Keramat. Sumber berkata, ketika disoal siasat, wanita berkenaan mendakwa bayi itu sudah mati sejak dua hari lalu dan dibawa dari Hulu Klang. Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan penemuan mayat bayi itu.

“Kami sudah menahan wanita warga Indonesia itu untuk soal siasat berikutan menerima maklumat awam mengatakan dia sedang mencari lokasi sesuai untuk mengebumikan mayat bayinya,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal, suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. “Saya sahkan bayi berkenaan miliknya dilahirkan di sebuah rumah kongsi di Ampang Ulu dengan dibantu seorang wanita Indonesia lain dan sudah meninggal dunia ketika dilahirkan,” katanya. Zakaria berkata, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut dan mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment